Siri Samsung Galaxy S24 dijangka akan dilancarkan sekitar awal tahun hadapan, namun desas-desus mengenainya telah pun mula tersebar dengan rancak. Sebelum ini rekaan Galaxy S24 Ultra mungkin akan menerima pembaharuan dan kini, pentiris maklumat Ice Universe berkongsikan dengan tambahan info baharu.
Ice sebelum ini menyatakan Galaxy S24 Ultra mungkin mempunyai skrin rata dengan bingkai yang lebih tebal dan kerangka sisi yang sedikit membulat. Beliau juga mendakwa nisbah aspek paparan akan berubah dari 19:3:9 kepada 19:5:9 dan sedikit pendek dari Galaxy S23 Ultra, namun lebih lebar dan nipis.
Penambahan saiz bingkai sebanyak 3.42mm ini mungkin mengurangkan nisbah skrin-kepada-kerangka sebanyak 88 peratus. Ini juga mungkin menjadikan nisbah skrin-kepada-kerangka paling kecil untuk sesebuah telefon pintar andalan (flagship) Samsung semenjak Galaxy S10 pada 2019.
Kini, Ice Universe juga berkongsikan lebih banyak maklumat khabar angin mengenai Galaxy S24 Ultra termasuk imej pengolokannya.
The 79mm width of the S24 Ultra body is not wrong (if it is wrong, it is also on the screen data).
— ICE UNIVERSE (@UniverseIce) August 24, 2023
What is the concept of 79mm? First of all, if it is a straight screen, it is also 79mm. In terms of hand feel, a flat screen is definitely more uncomfortable than a curved screen.… pic.twitter.com/i2TyhZkW0o
Telefon pintar besar seperti Galaxy S23 Ultra yang mempunyai skrin 6.8-inci mungkin sedikit kurang selesa apabila dipegang. Namun, dengan skrin yang sedikit melengkung membantu pengguna menggenggamnya dengan lebih erat di tapak tangan.
Galaxy S24 Ultra mungkin mempunyai saiz skrin yang sama seperti S23 Ultra. Akan tetapi, skrin yang rata dan kelebaran yang semakin bertambah menyukarkan ia untuk dipegang oleh sesetengah pengguna.
Menerusi beberapa imej yang dikongsikan beliau, skrin Galaxy S24 Ultra kelihatan seperti segi empat tepat dengan bingkai yang membulat menjadikan ia kelihatan lebih lebar. Perbandingan foto tersebut dengan telefon pintar lain seperti iPhone 15 Ultra dan Xiaomi 14 turut menunjukkan perbezaan rekaan yang amat ketara di antara telefon-telefon pintar andalan tersebut.