NVIDIA dilihat sedang memperluaskan sokongan untuk GPU RTX melalui satu demonstrasi di GDC 2021 yang mempertontonkan teknologi grafik untuk permainan peringkat tinggi. Demonstrasi tersebut juga menunjukkan penggunaan teknologi DLSS dan pencahayaan ray-tracing pada cipset ARM.
Bagi tujuan demonstrasi tersebut, judul permainan Wolfenstein: Youngblood dan demo dari NVIDIA, “The Bistro telah dimainkan melalui perkakasan GPU RTX 3060 yang bergandingan dengan cipset ARM, MediaTek Kompanio 1200. Cipset berkenaan juga merupakan cip mercu keluaran MediaTek yang dirancang untuk digunakan pada Chromebook yang lebih berkuasa.
Secara keseluruhannya, NVIDIA memaklumkan telah memindahkan lima teknologi RTX ke ARM dan Linux, iaitu:
- DLSS
- RTX Direct Illumination
- RTX Global Illumination
- RTX Memory Utility
- Nvidia’s Optix AI-Accelerated Denoiser
SDK-SDK untuk alatan-alatan tersebut khusus untuk ARM dengan Linux dan Chromium dijangka akan disediakan kepada pembangun dalam masa yang terdekat ini.
Sungguhpun Chromebook dengan cip ARM yang bergandingan GPU RTX 3080 ini mungkin mengambil masa yang lama untuk hadir ke pasaran, demonstrasi ini membuktikan teknologi grafik dari NVIDIA mampu disokong pada cipset ARM. Malah, NVIDIA juga dilihat berminat untuk menyediakan perisian dan alatan yang diperlukan bagi sokongan tersebut.