Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memperkukuh pematuhan cukai di Malaysia secara drastik.
Menerusi inisiatif digital ini, seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil secara sukarela untuk mengisytiharkan pendapatan yang berjumlah RM4.07 bilion.
Berdasarkan kenyataan rasmi LHDN, pendekatan dipacu data ini turut merekodkan kutipan cukai tertunggak sebanyak RM1.009 bilion melalui penyerahan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran sebelum ini.
Penggunaan Sistem Berkembang
Sejak sistem e-invois diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, tahap penerimaan pendigitalan ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
Lebih daripada 230,000 pembayar cukai telah mengadaptasi sistem tersebut dalam operasi perniagaan mereka. Peralihan digital ini telah merekodkan pengeluaran sebanyak 1.505 bilion e-Invois setakat ini.
Menurut LHDN, pencapaian ini mencerminkan sokongan dan kesediaan pembayar cukai untuk mendigitalkan operasi perniagaan mereka.
Bermula 1 Januari 2026, LHDN mengingatkanperaturan baharu mewajibkan semua transaksi penjualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000 disokong oleh e-Invois.
Bagi melancarkan proses transaksi ini, pembeli diwajibkan untuk memberikan nombor pengenalan diri atau Nombor Pengenalan Cukai (TIN) kepada penjual supaya e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat.
Analitik Data Kesan Anomali
Sebagai agensi yang memacu pematuhan melalui inovasi teknologi, LHDN telah membangunkan satu model analitik canggih bagi tujuan penguatkuasaan.
Sistem ini direka khas untuk mengesan sebarang anomali, transaksi yang mencurigakan, dan corak tingkah laku perniagaan yang luar biasa.
Inisiatif teknologi ini membolehkan agensi tersebut menjalankan penilaian risiko dengan lebih efektif serta menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara.
Hasil analisis data sistem mendapati wujudnya pembayar cukai yang memiliki transaksi kewangan aktif namun tidak selari dengan rekod cukai sedia ada.
Sistem pemantauan ini berjaya mengesan aktiviti seperti pembelian bernilai lebih RM100,000, pemilikan aset dan kenderaan, serta transaksi perniagaan dalam talian yang rancak tanpa pengisytiharan pendapatan yang sepadan.
Pematuhan Dan Tindakan Lanjut
Walaupun terdapat peningkatan dalam pematuhan cukai secara sukarela, pemantauan LHDN mendapati segelintir pihak masih gagal mematuhi sepenuhnya keperluan e-Invois.
Antara kesilapan lazim yang direkodkan termasuklah hanya mengeluarkan e-Invois untuk sebahagian transaksi, kelewatan menyerahkan e-Invois yang disatukan melebihi tempoh yang dibenarkan, serta mengabaikan pengeluaran e-Invois bagi transaksi melebihi RM10,000.
Pihak LHDN akan terus menggunakan pendekatan pematuhan berpacukan data berdasarkan maklumat e-Invois, sambil menggesa pembayar cukai mengambil langkah pembetulan segera untuk transaksi lalu.
LHDN menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas akan diambil bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi, sekali gus memelihara keadilan dalam sistem percukaian nasional.













