Lanjutan dari pengumuman oleh Menteri Sains dan Teknologi, Encik Khairy Jamaluddin, aplikasi mudah alih kerajaan Malaysia untuk memantau COVID-19 kini telah dilancarkan. Dikenali sebagai MySejahtera, aplikasi ini boleh didapati menerusi iOS App Store, Google Play dan Huawei AppGallery.
Secara amnya, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan melalui aplikasi ini, antaranya pemeriksaan kendiri yang melibatkan soalan mudah Ya-atau-Tidak yang berkaitan simptom-simptom COVID-19 dan pengesanan kontak rapat.
Selain dari itu, anda juga boleh menghantar lokasi semasa anda bersama-sama foto kepada pihak berkuasa melalui aplikasi ini. Untuk fungsi ini, aplikasi ini memerlukan anda menghidupkan Bluetooth dan tetapan lokasi pada peranti anda.
Untuk pendaftaran pengguna baru, bagaimanapun, ia tidak dilakukan menerusi aplikasi berkenaan. Pendaftaran pengguna baru boleh dilakukan menerusi laman web rasmi aplikasi MySejahtera.
Menerusinya, anda boleh memilih untuk mendaftar menggunakan alamat emel atau nombor telefon bimbit. Kedua-duanya tetap memerlukan anda untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan juga alamat kediaman.
Anda juga boleh merujuk bahagian soalan-soalan lazim (FAQ) aplikasi MySejahtera untuk maklumat lanjut.
Bagi menangani wabak pandemik COVID-19 ini, kita perlu mengamalkan kebersihan yang baik dengan kerap mencuci tangan dan juga jangan keluar rumah tanpa urusan penting sepanjang tempoh PKP ini. Bersama kita bendung wabak COVID-19 ini dari bermaharajalela di bumi Malaysia kita yang tercinta ini.