Microsoft sebelum ini telah dilaporkan akan membuat pengumuman besar mengenai Windows generasi berikutnya dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Cumanya, kita tidak tahu apakah nama yang akan digunakan bagi versi sistem operasi berikutnya yang berkenaan. Adakah ianya akan dikenali sebagai Windows 11, Windows Sun Valley atau sesuatu yang baharu? Tiada yang dapat dipastikan setakat ini.

Apa yang pasti setakat ini, hayat Windows 10 kini sudah tidak begitu panjang lagi.

Menurut laman kitaran hayat Windows 10 Home dan Pro, Microsoft akan menamatkan Windows 10 pada 14 Oktober 2025.

Terdapat notifikasi di sebelah atas paparan halaman berkenaan yang menyatakan notis penting: “Microsoft will continue to support at least one Windows 10 Semi-Annual Channel until October 14, 2025.”

Apabila hayatnya tamat kelak, sistem operasi ini tidak lagi boleh kemaskini keselamatan dan kualiti. Namun, terdapat kemungkinan yang Microsoft mungkin akan melanjutkan tarikh akhirnya sedikit seperti yang pernah dilakukan pada Windows 7.

Maklumat yang tidak sengaja ditiriskan oleh Microsoft ini menyatakan Windows 10 masih lagi boleh digunakan seiring dengan kehadiran sistem operasi versi baharu yang akan diperkenalkan kelak.

Ini akan memberikan lebih masa kepada pengguna membuat persediaan untuk beralih ke sistem operasi baharu nanti. Tempoh peralihan ini mungkin lebih baik berbanding naik taraf secara tiba-tiba pada 2016 lalu apabila pengguna Windows 7 dinaiktaraf ke Windows 10 tanpa kerelaan.

Apa pandangan anda mengenai perubahan terkini yang akan diperkenalkan oleh Microsoft ini? Nyatakannya di ruangan komentar di bawah.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.