Format-format fail pada hari ini bukanlah sesuatu yang sering diberikan perhatian bagi kebanyakan pengguna PC pada hari ini. Ia berbeza dengan pengguna-pengguna lama yang perlu mengambil perhatian terhadap jenis format sama ada FAT32 atau NTFS untuk mengetahui kekangan masing-masing.
Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan format fail FAT32 akan ditingkatkan saiz partition padanya dari 32GB ke 2TB menerusi Windows 11 Insider Preview Build 27686. Berdasarkan pengumuman tersebut, had baharu tersebut hanya untuk pemformatan menggunakan baris arahan (command line). Tidak dapat dipastikan jika ia akan muncul di dalam kotak dialog memformatkan apabila anda klik kanan pada sesebuah pemacu (drive).
Menurut laporan dari The Verge, Windows telah memberikan sokongan untuk membaca saiz partition FAT32 sehingga 2TB. Pun begitu, Microsoft tidak memberikan sokongan kepada pengguna biasa untuk melakukannya tanpa menggunakan alatan pihak ketiga buat masa ini.
Ketika ini juga tidak diketahui apakah yang akan berlaku pada had saiz fail 4GB jika menggunakan format tersebut. Kemungkinan besar had saiz fail 4GB akan dikekalkan walaupun terdapat perubahan pada had partition pada FAT32 kelak.