Utama Android Honor Telefon Pintar Boleh Lipat Mercu HONOR Magic V3 akan diperkenalkan secara global...

Telefon Pintar Boleh Lipat Mercu HONOR Magic V3 akan diperkenalkan secara global di IFA September ini

131
0

Berbeza dengan HONOR Magic V2 sebelum ini yang mengambil masa yang agak lama sebelum menemui pengguna global, model telefon pintar boleh lipat mercu berikutnya ini tidak mengambil masa yang lama.

HONOR yang akan menyertai acara Pameran Radio Antarabangsa Berlin (Internationale Funkausstellung Berlin, IFA) pada tahun ini akan memperkenalkan HONOR Magic V3 bersama-sama HONOR MagicPad 2 12.3 dan HONOR MagicBook Aer 14 2024. Acara pelancaran besar-besaran ini dijadualkan berlangsung pada 5 September 2024 menjelang IFA 2024 dimulakan secara rasmi.

Telefon pintar boleh lipat mercu HONOR Magic V3 mempunyai rekabentuk yang amat nipis apabila dilipat pada 9.2mm dan juga amat ringan 226g. Ia hampir pada telefon pintar paparan konvensional seperti Galaxy S24 Ultra yang mempunyai ketebalan 8.6mm dan berat 232g.

Berdasarkan spesifikasi model yang dilancarkan di China, ia dijangka akan dilengkapkan dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 dengan bateri berkapasiti 5,150mAh. Agak besar terutamanya bagi sesebuah telefon pintar dengan gaya ini. Kameranya pula hadir dengan keupayaan yang menarik iaitu kamera utama 50MP, kamera periskop 50MP 3.5x dan ultra lebar 40MP.

Harganya kelak dijangka akan ditawarkan pada harga yang tinggi sebagaimana ketika HONOR Magic V2 dilancarkan. Pada ketika itu, harganya di Malaysia RM6,999 dan mungkin ia boleh menjadi salah sebuah telefon pintar boleh lipat terbaik di pasaran tempatan.

HONOR MagicPad 2 dan HONOR MagicBook Art 14 (2024)

Dalam pada masa yang sama, HONOR MagicPad 2 yang akan diperkenalkan bersama-sama dengannya mempunyai paparan OLED 12.3-inci 144Hz, 1,600 nits dengan IMAX Enhanced. Ia menggunakan pemprosesan Snapdragon 8s Gen 3 dengan dilengkapkan lapan pembesar suara dan bateri 10,050mAh bersama-sama sokongan pengecasan 66W.

Mengambil inspirasi dari Magic V3, HONOR MagicBook Art 14 2024 juga menampilkan rekaan yang nipis dan ringan pada ketebalan 12.95mm dan berat 1.03 kg. Ia dilengkapkan dengan paparan OLED 14.6-inci (bernisbah 3:2) dengan kamera webnya tidak kelihatan.

Menariknya, kamera web laptop ini disimpan pada sebelah kirinya dan menggunakan magnet dan pin-pin pogo untuk melekapkannya pada bahagian atas skrin ketika hendak digunakan. Dari segi perkakasannya, laptop ini menggunakan pemprosesan Intel Core Ultra 5 125H atau Ultra 7 155H dengan grafik Intel Arc, RAM 16GB atau 32GB dan storan sehingga 1TB.

Saksikan penstriman langsung pelancaran global HONOR Magic V3 di IFA 2024 pada 5 September 2024

Jadilah antara yang terawal untuk menyaksikan pelancaran global HONOR Magic V3 di IFA 2024 pada 5 September 2024, jam 8 malam waktu tempatan. Pelancaran ini akan distrimkan secara langsung di laman rasmi Facebook HONOR Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai HONOR Magic V3, ikuti laman rasmi Facebook dan laman sesawang HONOR Malaysia di https://www.honor.com/my/ 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.