Seiring dengan mentari terbit di ufuk langit Kuala Lumpur, ribuan delegasi berpusu-pusu menuju ke pelbagai pusat konvensyen di seluruh kota, mencerminkan peningkatan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam industri acara pengurusan perniagaan global ini.
Dari persidangan perubatan bertaraf dunia sehingga pameran perdagangan antarabangsa, negara Malaysia telah meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam industri yang dijangka mencecah AS$1.78 bilion di peringkat global menjelang tahun 2030. Namun, di sebalik kejayaan yang gemilang ini, tersembunyi satu cabaran yang semakin membelenggu dan berpotensi akan menjejaskan momentum industri ini: iaitu kekurangan tenaga kerja mahir.
Pertumbuhan Industri Acara Pengurusan Perniagaan di Malaysia
Industri acara pengurusan perniagaan global kini sedang berkembang pesat dan Asia Tenggara jelas muncul sebagai kuasa utama. Pasaran acara pengurusan perniagaan di rantau ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 12.5% menjelang 2028.
Kedudukan strategik Malaysia, infrastruktur moden, dan kemajuan teknologi menjadikannya destinasi pilihan bagi acara antarabangsa. Inisiatif terkini seperti Visit Malaysia 2026 dan Malaysia’s ASEAN Chairmanship in 2025 semakin memperkukuhkan daya tarikannya, ditambah pula dengan kemasukan bebas visa bagi warganegara China dan India.
Statistik menunjukkan potensi besar negara ini. Menjelang tahun 2025, Malaysia dijangka menerima 31.3 juta pelancong, dengan hasil pelancongan mencecah RM125.5 bilion. Menjelang tahun 2034 pula, sektor ini dijangka menyumbang RM336.6 bilion (12.1% daripada KDNK) dan mewujudkan lebih 3.5 juta pekerjaan, bermakna satu daripada enam rakyat Malaysia akan bekerja dalam industri ini. Malaysia juga telah berjaya dipilih dan ditempah untuk 123 acara antarabangsa dari tahun 2022 hingga 2030, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama bagi acara pengurusan perniagaan global.
Namun, pertumbuhan yang memberangsangkan ini berdepan cabaran besar: tanpa tenaga kerja hospitaliti yang kukuh, perkembangan ini mungkin tidak dapat dikekalkan. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang signifikan kepada sektor ini di mana Malaysian Association of Hotels (MAH) melaporkan kira-kira 120 hotel ditutup, sama ada secara sementara atau kekal. Industri ini mengalami kerugian pendapatan melebihi RM6.5 bilion pada 2020, diikuti dengan kerugian tambahan sebanyak RM9 bilion pada 2021.
Statistik tenaga kerja juga membimbangkan. Menurut World Tourism Organization (UNWTO), tenaga kerja hotel di Malaysia menurun sebanyak 10% pada 2020, daripada 233,800 orang pada 2019 kepada 208,500 orang. Malaysian Association of Hotel Owners (MAHO) pula melaporkan bahawa separuh daripada tenaga kerja hospitaliti meninggalkan industri ini semasa pandemik, dengan ramai yang beralih ke bidang lain atau memulakan perniagaan sendiri.
Berbeza dengan Amerika Syarikat dan Eropah, peralihan tenaga kerja antara generasi di Asia Tenggara tidak begitu ketara. Namun, cabaran untuk menarik dan mengekalkan bakat dalam industri hospitaliti masih menjadi isu utama. Peranan tradisional dalam sektor hospitaliti sering dianggap mencabar dan kurang menguntungkan berbanding industri lain. Generasi muda kini semakin mengutamakan keseimbangan kerja dan kehidupan serta gaji yang lebih tinggi. Ramai yang cenderung memilih kerja jarak jauh atau pekerjaan fleksibel yang lebih selari dengan gaya hidup dan aspirasi kerjaya jangka panjang mereka.
Menangani Jurang Bakat
Bagi mengatasi cabaran ini, kerjasama antara kerajaan, industri, dan institusi akademik menjadi semakin penting. Industri hospitaliti perlu menempatkan semula dirinya sebagai laluan kerjaya yang dinamik dan berbaloi dengan peluang pertumbuhan yang jelas. Transformasi ini memerlukan peningkatan kemahiran tenaga kerja serta pemantapan keupayaan serba boleh untuk menyesuaikan diri dengan permintaan industri yang semakin berkembang.
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat) memainkan peranan utama dalam usaha ini dengan pelaburan dalam program latihan komprehensif dan mobiliti merentas jabatan (cross-departmental mobility). Pendekatan ini membolehkan pekerja meneroka pelbagai laluan kerjaya, sekali gus memberi manfaat kepada pertumbuhan profesional individu serta meningkatkan keupayaan organisasi secara keseluruhan.
Kerjasama dengan industri pendidikan juga terbukti penting , di mana institusi menyediakan pelajar dengan pendedahan kepada dunia sebenar industri serta pengalaman pembelajaran secara praktikal melalui program latihan industri (internship), karnival kerjaya, dan sesi perkongsian ilmu.
Sebagai contoh, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini telah bekerjasama dengan Charterhouse School untuk menganjurkan edisi kedua Dragons’ Den Business Competition, sebuah inisiatif CSR yang bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah menengah kepada dunia sebenar perniagaan. Dalam pertandingan ini, 11 pasukan menjalankan kajian dan membentangkan idea kreatif untuk menambah baik tawaran F&B di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Selain menggalakkan inovasi, pertandingan ini juga bertujuan untuk memupuk pemikiran keusahawanan di kalangan bakat muda.
Sementara itu, Pusat juga turut aktif bekerjasama dengan universiti dan kolej melalui karnival kerjaya, program latihan industri, peluang pekerjaan separuh masa, dan sesi perkongsian ilmu. Para pelajar mendapat manfaat daripada lawatan akademik ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di mana mereka memperoleh pandangan daripada pakar industri, manakala program latihan di tempat kerja turut diintegrasikan dalam kurikulum hospitaliti bagi memberikan pengalaman praktikal yang lebih menyeluruh.
Memperkasakan Industri Hospitaliti untuk Masa Hadapan
Industri hospitaliti perlu menerima inovasi teknologi sebagai sebahagian daripada usaha untuk kekal berdaya saing. Sistem berasaskan terknologi kini membolehkan pemantauan masa sebenar terhadap kemahiran pekerja, kemajuan latihan, dan laluan kerjaya mereka. Sementara itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat mengenal pasti pekerja berpotensi tinggi dan mencadangkan program pembangunan yang disasarkan dapat memudahkan proses pengambilan pekerja dan meningkatkan perancangan tenaga kerja jangka panjang.
Satu kajian oleh Corporate Leadership Council mendapati bahawa 72% syarikat menjangkakan peningkatan dalam kekosongan jawatan kepimpinan, namun 76% tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini menekankan kepentingan perancangan dan pembangunan tenaga kerja yang strategik. Dengan mewujudkan laluan pembelajaran berstruktur, program bimbingan, dan rangka kerja kecekapan, majikan dapat memastikan pekerja terus meningkatkan kemahiran serta berkembang dalam kerjaya mereka. Syarikat yang melabur dalam pertumbuhan kerjaya akan menikmati keterlibatan pekerja yang lebih tinggi, kepimpinan yang lebih kukuh, serta kestabilan jangka panjang dalam organisasi.
Mewujudkan persekitaran kerja yang positif adalah kunci untuk mengekalkan tenaga kerja. Dengan mengutamakan keterlibatan, pengiktirafan, dan keseimbangan kerja dan kehidupan, sektor hospitaliti dapat mengurangkan kadar peralihan pekerja serta membina tenaga kerja yang setia dan berdedikasi.
Dengan Malaysia terus menjadi tuan rumah bagi acara dan persidangan antarabangsa utama, kejayaannya semakin bergantung kepada kekuatan dan kelestarian inisiatif pembangunan tenaga kerjanya . Keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dan berinovasi dalam pembangunan bakat akan menentukan kedudukannya dalam landskap industri acara pengurusan perniagaan global yang kompetitif.
Matahari terbenam di Kuala Lumpur yang kini menyinari bukan sahaja latar langitnya yang mengagumkan, tetapi industri yang berubah-ubah di mana kerjaya ditakrifkan semula, bakat yang sedang dipupuk, dan masa depan hospitaliti sedang dibentuk. Melalui usaha bersama di kalangan sektor swasta, institusi pendidikan, dan agensi kerajaan, Malaysia mampu membina asas yang mampan untuk masa depan industri hospitaliti.