KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2025 – Destinasi acara pusat perniagaan terunggul yang dibina khas di Malaysia, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat Konvensyen), meraikan ulang tahunnya yang ke-20 dengan visi yang besar untuk 2025. Sepanjang dua dekad yang lalu, Pusat ini telah menganjurkan 21,825 acara, menerima 29,668,466 delegasi, dan menyumbang RM12.3 bilion kepada ekonomi. Kejayaan tersebut telah mengukuhkan statusnya sebagai peneraju utama industri acara perniagaan di Malaysia.
Dengan pelan berpencapaian tinggi dan dorongan untuk berinovasi, Pusat Konvensyen ini telah menerima tempahan untuk 60 konvensyen dan pameran berstatus antarabangsa, serantau dan domestik untuk tahun 2025. Selain itu, lebih 70 mesyuarat dan acara korporat telah dijadualkan, dan ia dijangka menarik lebih daripada 180,000 delegasi. Angka-angka ini mewakili fasa awal jadual Pusat Konvensyen ini dan ia dijangka akan terus meningkat sepanjang tahun.
John Burke, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengulas, “Kami berbesar hati memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi acara pusat perniagaan antarabangsa terkemuka. Kerjasama kukuh yang dibina, termasuk dengan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), adalah teras kejayaan kami dan kami yakin ini akan menjadi pemangkin usaha kami dalam meningkatkan lagi nama Kuala Lumpur dipersada antarabangsa.”
Acara pusat perniagaan pertama untuk tahun 2025 ialah International Petroleum Technology Conference (IPTC), yang akan kembali ke Malaysia selepas 11 tahun bermula 18 hingga 20 Februari. Diikuti dengan penganjuran sulung di Malaysia untuk International Vulvovaginal Disease Update (ISSVD) pada 25–26 April. Dari 12–19 Julai, International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC) General Assembly & World Chemistry Congress akan menyerlahkan keupayaan Pusat Konvensyen ini untuk penganjuran acara perniagaan fokus kepada inovasi saintifik dan kelestarian kimia dalam persekitaran berteknologi tinggi yang mengutamakan kemampanan. Antara acara yang akan dilangsungkan pada suku terakhir tahun ini, General Assembly of the International Social Security Association – ISSA and World Social Security Forum (WSSF) 2025 akan membuat penampilan pertama mereka di Malaysia dari 6 – 10 Oktober.
Kemampanan kekal penting dalam pertumbuhan Pusat Konvensyen ini, dengan peningkatan penggunaan bilik mesyuarat cekap tenaga, pilihan jamuan berkonsepkan kelestarian, dan ruang serbaguna yang memenuhi piawaian industri yang terus berkembang. Antara peningkatan canggih yang diperkenalkan untuk meningkatkan pengalaman delegasi termasuk penggunaan skrin LED seperti skrin panoramik 20.5m x 1m baharu di Dewan Plenari, penggabungan fungsi dengan kecanggihan visual.
Penjagaan alam sekitar juga adalah merupakan keutamaan dalam pengoperasian Pusat Konvensyen ini dengan tumpuan khusus untuk melindungi sumber asli dan memupuk impak jangka panjang masyarakat melalui program komuniti dan pendidikan. Sejajar dengan prinsip ESG, Pusat Konvensyen inijuga membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dengan kerjasama antara pelanggan dan vendor. Di bawah ikrar Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE), Pusat Konvensyen ini juga sedang berusaha ke arah mencapai pengurangan 25% dalam pelepasan Skop 1 dan Skop 2.
“Ulang tahun ke-20 kami bukan sekadar meraikan pencapaian kami yang lepas, ia juga pemangkin kami untuk mengorak langkah ke masa hadapan. Penambahbaikan yang kami lakukan dan barisan acara yang akan diadakan mencerminkan komitmen kami untuk memberi pengalaman bertaraf dunia. Kami teruja dengan peluang yang akan tiba dan kekal berdedikasi untuk memacu pertumbuhan Malaysia melalui acara perniagaan yang luar biasa.”