Maybank baru-baru ini telah mengumumkan integrasi ciri perisai malware baharu untuk aplikasi mudah alih MAE. Ia selaras dengan pengumuman oleh Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berhubung pelaksanaan langkah-langkah keselamatan oleh bank-bank yang bernaung di bawah organisasi-organisasi tersebut.
Menurut Maybank, ciri ini secara automatik akan mengimbas sebarang malware atau permintaan tetapan berisiko ketika membuka MAE. Ia akan mengeluarkan amaran dan sekatan membuka aplikasi MAE pada peranti tersebut jika mendapati terdapat sebarang aplikasi yang berniat jahat atau malware.
Amaran yang dipaparkan juga menyenaraikan aplikasi-aplikasi yang terlibat, dan pengguna perlu membuang aplikasi yang berkenaan sebelum aplikasi perbankan MAE boleh dibuka.
Selain itu, MAE juga akan memberikan amaran kepada pengguna jika Developer Mode atau Accessibilty Mode diaktifkan. Menurut Maybank, kedua-dua mod tersebut berpotensi memberikan risiko kepada aplikasi dan akaun pengguna terhadap serangan dari luar. Maybank juga menggesa para pelanggan supaya tidak memuat turun aplikasinya atau sebarang fail berformat APK dari sumber tidak rasmi bagi mengelakkan kemungkinan kehadiran malware ke dalam peranti.
Ciri perisai malware ini juga diperkenalkan kepada semua pengguna MAE secara berperingkat dan pengguna juga perlu mengemaskini ke versi terkini untuk menerima ciri peningkatan keselamatan baharu ini. Kemaskini ini tidak akan hadir ke aplikasi Maybank lama, Maybank2u memandangkan ia akan ditutup pada 28 Ogos 2024.