Hubungan antara Huawei dan Google yang terputus pada bulan lepas telah memberikan kesan yang amat mendalam terhadap syarikat telekomunikasi China berkenaan. Antara kesannya telah menyebabkan Huawei terpaksa mewujudkan sistem operasinya sendiri yang dikhabarkan akan dilancarkan hujung tahun ini.
Selain itu, Huawei juga memerlukan lebih banyak aplikasi yang boleh dijalankan pada platform terbarunya agar dapat menggantikan gedung aplikasi Play Store yang terdapat di seluruh peranti Android.
Terkini, Huawei kini dilaporkan menjemput para pembangun aplikasi untuk menyertai Huawei AppGallery – gedung aplikasi yang dikatakan mempunyai 270 juta pengguna aktif pada lebih daripada 350 juta peranti. E-mel jemputan tersebut secara jelas menunjukkan Huawei kini sedang berusaha menarik perhatian pembangun-pembangun untuk menerbitkan aplikasi mereka di AppGallery. Huawei juga turut berjanji memberikan “sokongan penuh” bagi pembangun-pembangun berkenaan.
Pembangun-pembanung aplikasi juga dijemput untuk menyertai komuniti pembangun Huawei secara percuma dan kini terdapat 560,000 pembangun yang sudah menyertainya. Sungguhpun dijangkakan sebahagian pembangun bakal menerima tawaran berkenaan, namun agak mustahil pembangun-pembangun dari AS akan menyertai komuniti tersebut.
Emel jemputan ini bukanlah kali pertama ditujukan kepada pembangun-pembangun aplikasi. Amazon sebelum ini pernah melakukan perkara yang sama apabila menyeru pada pembangun untuk menerbitkan aplikasinya di gedung aplikasi Amazon Appstore.
Sumber berita diperoleh dari XDA Developers