Pada Computex 2019 beberapa minggu lepas, AMD telah menarik perhatian pengguna di dalam acara utamanya dengan melancarkan pemprosesan terbaru, Ryzen Generasi ke-3 yang merangkumi Ryzen 9 3900X (12-teras / 24-bebenang). Bagaimanapun, AMD masih lagi belum mendedahkan keseluruhan CPU Ryzen 9 keluaran terbarunya.
Bersempena acara E3 2019 hari ini, AMD melancarkan model kedua Ryzen 9 Generasi Ke-3 yang dikenali sebagai Ryzen 9 3950X. Sungguhpun mempunyai TDP 105W yang sama dengan Ryzen 9 3900X, cip pemprosesan terbaru ini menawarkan lebih kuasa pemprosesannya melalui spesifikasi 16-teras / 32-bebenangnya.
Cip pemprosesan terbaru ini juga dilengkapi dengan jumlah cache yang lebih tinggi pada 72MB. Menariknya, 3950X mempunyai kelajuan klok asas yang lebih rendah berbanding 3900X pada 3.5GHz. Namun, kelajuan klok yang dipertingkatkannya pula sedikit lebih tinggi pada 4.7GHz.
Siri pemprosesan-pemprosean Gen 3 Ryzen akan mula ke pasaran pada 7 Julai ini, manakala Ryzen 3950X pula akan tiba sekitar bulan September. Harga bagi cip pemprosesan terbaru ini akan ditawarkan pada USD 749 (bersamaan sekitar RM 3,117).
Sumber berita diperoleh dari AMD