Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat kad-kad Touch ‘n Go Dipertingkat NFC yang dijual pada harga lebih tinggi oleh peniaga dalam talian. Kad-kad tersebut tidak banyak dijual sungguhpun ia menerima permintaan yang tinggi.
Anda boleh mendapatkan kad Touch ‘n Go Dipertingkat NFC ini menerusi TnG Hubs di Bangsar South dan Nu Sentral, aplikasi Touch ‘n Go eWallet, dan juga stesen-stesen petrol terpilih di seluruh negara.
Terdahulu, pihak Touch ‘n Go telah meminta orang ramai supaya membeli kad dengan NFC tersebut di saluran-saluran rasmi bagi mengelakkan dari diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Touch ‘n Go juga baru-baru ini telah mengehadkan bilangan yang boleh dibeli kepada 1 unit sahaja untuk seorang individu bagi mengelakkan kemungkinan ia dijual semula.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan Bahagian Penguatkuasaan kementerian telah menerima empat aduan rasmi berkenaan perkara ini. Bahagian tersebut turut mengesan 13 iklan jualan kad tersebut di beberapa platform jualan dalam talian.
Siasatan awal mendapati kad Touch ‘n Go Dipertingkat NFC yang dijual pada harga melampau ini turut melibatkan segelintir kakitangan stesen minyak. Menurut menteri berkenaan, terdapat inidividu yang menjual kad yang harga asalnya RM10 ini sehingga lebih dari lima kali ganda dari nilai asalnya.
Sejumlah 11 premis termasuk yang didaftarkan sebagai kediaman persendirian dan bangunan perniagaan diperiksa atas hubungkait dengan kes ini. Selain itu, enam notis telah dikeluarkan terhadap pihak-pihak yang terlibat bagi meminta mereka memberikan maklumbalas atau penjelasan rasmi kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP.
Menurut menteri berkenaan lagi, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh disabitkan dengan kesalahan di bawak Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 kerana enggan memberikan sebarang maklumbalas.
KPDNHEP dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Touch ‘n Go pada minggu ini bagi membincangkan berkenaan kaedah penjualan kad tersebut dan juga status bekalan semasa.