Kementerian Komunikasi Digital (KKD) sebelum ini telah mengumumkan hanya 4.2% daripada populasi yang menggunakan rangkaian 5G walaupun tahap liputan 5G di Malaysia kini mencecah 66.8%.
Atas sebab itu, pihak kerajaan kini sedang berusaha meningkatkan penggunaan 5G di kalangan rakyat, termasuk bekerjasama dengan Samsung untuk peranti 5G yang lebih mampu milik.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mendedahkan penggunaan rangkaian 5G yang rendah merupakan antara yang dibincangkan ketika kunjungan beliau ke Ibu Pejabat Samsung di Korea Selatan.
Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Perniagaan Pengalaman Mudah Alih Samsung TM Roh dan Presiden Perniagaan Rangkaian Samsung Woojune Kim bagi membincangkan potensi kerjasama demi manfaat rakyat Malaysia.
Antara punca penggunaan rangkaian 5G yang rendah adalah disebabkan oleh harga telefon pintar 5G yang tidak mesra bajet, menurut Fahmi Fadzil.
Dalam pada masa yang sama, beliau menjelaskan pakej 5G RAHMAH yang diperkenalkan baru-baru ini membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan telefon pintar Samsung Galaxy A14 5G yang berharga RM949 pada harga RAHMAH RM240.
Beliau juga berharga kerjasama erat dapat diteruskan di antara KKD dan syarikat telekomunikasi dengan Samsung agar harga peranti 5G menjadi lebih mesra bajet.
Selain pertemuan dengan pihak Samsung, Fahmi Fadzil juga menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara TM dengan SK Telecom. Beliau turut mengadakan kunjungan ke syarikat pembangun permainan NX3 Games dan Smilegate, selain turut menyampaikan ucapan di GSMA Mobile 360 dan Forum Pemimpin Dasar 2023 di Korea Selatan.