Ekosistem identiti digital negara terus diperkukuhkan dengan pelaksanaan lapisan keselamatan baharu pada semua kiosk MyDigital ID di seluruh Malaysia.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), naik taraf ini akan membolehkan pengesahan biometrik wajah (pengesanan ciri fizikal muka) dilakukan secara masa nyata.

Sistem ini akan memadankan wajah pengguna secara terus dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika proses pendaftaran dilakukan.

Langkah ini bertujuan meningkatkan ketepatan pengesahan identiti. Ia juga bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan data serta akses tanpa kebenaran.

Selain pengguna baharu, pengguna sedia ada juga kelak diwajibkan untuk menjalani proses pengesahan semula biometrik wajah secara berkala. Tujuannya untuk memastikan integriti dan keselamatan identiti digital mereka kekal terjamin.

Pelaksanaan penambahbaikan keselamatan ini akan dijalankan secara berperingkat di semua kiosk seluruh negara. Bagi melancarkan proses tersebut, kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan bermula 12 Jun 2026 pada jam 6.00 pagi, dan dijangka selesai pada Ahad, 14 Jun 2026 pada jam 6.00 pagi.

Sepanjang tempoh penyelenggaraan ini, semua perkhidmatan kiosk MyDigital ID tidak akan beroperasi. Walau bagaimanapun, orang awam masih boleh melakukan pendaftaran menggunakan peranti pintar masing-masing.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID yang tersedia secara rasmi di platform Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei AppGallery.

MKN turut menekankan bahawa kebergantungan masyarakat, perniagaan, dan agensi kerajaan terhadap perkhidmatan digital kini semakin meningkat.

Seiring dengan perkembangan teknologi, ancaman siber seperti penipuan dalam talian (online scams), penyamaran identiti, dan kecurian data menjadi satu kebimbangan utama yang memerlukan tindakan proaktif.

Tinggalkan komentar