Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan pelaksanaan penuh program MyLesen B2 menjelang Julai tahun ini, bagi membantu lebih ramai belia memperoleh lesen motosikal yang sah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses kepada sistem pelesenan yang selamat dan berstruktur, khususnya kepada golongan muda serta individu yang berdepan kekangan kewangan.
Menurut beliau, sebanyak RM10.5 juta telah diperuntukkan bagi program MyLesen B2 tahun ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 peserta di seluruh negara.
“Program ini diharap dapat membantu lebih ramai belia mematuhi undang-undang sedia ada ketika memandu atau menunggang motosikal,” katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Belia, MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) di SJK(C) Yong Peng 1, pada Selasa.
Libatkan 60,000 Pelajar Sekolah
Selain itu, program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan turut melibatkan 60,000 pelajar di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM18.5 juta.
Johor mencatatkan penyertaan tertinggi dengan seramai 8,000 pelajar terlibat dalam program tersebut.
Program MyB2S membolehkan pelajar mendapatkan Lesen Memandu Belajar (LDL) sebelum menjalani latihan dan ujian menunggang motosikal secara berperingkat, bermula dengan latihan praktikal.
Usaha Perluas Akses Lesen Sah
Secara keseluruhan, gabungan kedua-dua program MyLesen B2 dan MyB2S dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 90,000 belia dan pelajar pada tahun ini.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah kerajaan untuk meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya serta mengurangkan risiko penunggang tanpa lesen, di samping memastikan proses latihan lebih sistematik dan selamat.













