Intel berhadapan dengan satu lagi kerentanan sekuriti pada pemprosesannya dan kali ini, kesannya dijangka lebih meluas. Penyelidik telah menemukan kerentanan pada rekaan CPU Intel yang membolehkan program-program biasa melakukan perubahan pada memori kernel yang sepatutnya terlindung (contoh; kawasan untuk kegunaan sistem operasi sahaja).
Perinciannya masih lagi dibawah larangan dan dilaporkan pembaikannya setakat ini adalah mengasingkan memori kernel dengan proses-proses biasa. Atas kemungkinan ini, ia dijangka bakal memberi kesan terhadap prestasi keseluruhan sesebuah sistem komputer. Hal ini kerana, setiap kali berlaku panggilan sistem atau permintaan sampukan perkakasan, ia memerlukan pensuisan di antara dua alamat memori.
Seteruk mana keadaaan lembab ini berlaku bergantung kepada jenis pemprosesan dan tugasan yang diperlukan. Paling menerima kesan adalah sistem kemayaan seperti Amazon EC2 atau Google Compute Engine. Menurut laporan dari The Register, prestasi boleh merosot antara 5 hingga 30 peratus. Tetapi terdapat kemungkinan yang peratusan kemerosotan prestasi ini boleh berlaku lebih besar lagi. Sama ada ianya boleh memberikan kesan terhadap tugasan harian seperti melayari laman web atau bermain game, ianya memerlukan pengujian yang lebih komprehensif lagi.
Disebabkan kerentanan ini pada peringkat cip, ianya bakal melibatkan hampir kesemua jenis sistem operasi termasuk Linux, MacOS, dan Windows. Pada peringkat perisian, kesemua pengeluar sistem operasi ini dilaporkan sedang mengusahakan pembaikan.
Intel bagaimanapun memberikan maklum balas bahawa kemerosotan prestasi ini hanya dibesar-besarkan oleh media. Pengguna PC biasa mungkin tidak begitu merasakan kesan kemerosotan prestasi ini memandangkan ianya bergantung dengan bebanan kerja yang ditanggung oleh sesebuah sistem komputer itu dalam satu-satu masa.
Kebelakangan ini, kedudukan Intel selaku peneraju di dalam cip pemprosesan mula dicabar oleh AMD melalui pengenalan cip Ryzen dan Epic. Laporan kerentanan dan masalah pembaikan yang mungkin menyebabkan cip menjadi lembab ini tentunya menambahkan lagi resah dan gundah gulana Intel di dalam menghadapi persaingan industri perkomputeran masa kini.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg