Berdasarkan kelajuan internet jalur lebar semasa, perkhidmatan internet jalur sempit seperti 1515, 1525, dan EZnet 1315 boleh diibaratkan seperti artifak zaman kuno. Sungguhpun begitu, ia masih lagi ditawarkan setakat ini sehingga ianya akan ditamatkan oleh TM pada 1 Oktober 2017.
Dilancarkan pada tahun 1996, talian internet berdail 1515 merupakan batu asas kepada TM untuk menjadi sebahagian dari Internet Service Provider (ISP) yang terawal di Malaysia. Sungguhpun begitu, ia bukanlah ISP pertama memandangkan ISP yang pertama di Malaysia adalah Jaring 1511 (yang bungkus pada tahun 2015). Selain dari menyediakan perkhidmatan internet 1515, TM pernah menyediakan perkhidmatan yang ‘laju sikit’ melalui pakej ISDN 1525 yang mana menawarkan kelajuan capaian sehingga 128Kbps.
Lebih kurang 10 tahun kemudian, TM melancarkan pula perkhidmatan internet berdail EZnet 1315 sewaktu perkhidmatan interenet jalur lebar Streamyx mula digunakan dengan lebih meluas. Perkhidmatan EZnet 1315 membolehkan pengguna menggunakan talian TM untuk mendapatkan akses internet jalur sempit tanpa perlu mendaftar dengan TM terlebih dahulu.
Bermula 1 Oktober 2017 ini, pengguna tidak lagi dapat mengakses ke perkhidmatan internet jalur sempit ini. Pun begitu, perkhidmatan ini memberikan nostalgia terutama bagi golongan-golongan yang pernah membesar sewaktu era pengenalan komputer dan internet ke masyarakat umum di Malaysia sewaktu dekad 1990-an dahulu.
Sumber berita diperoleh dari TM