Bagi anda yang kerap membuat semakan kemaskini Windows 11 atau Windows 10, anda mungkin mendapati kemaskini ‘driver’ lama atau lapuk diletakkan di dalam bahagian kemaskini pilihan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengguna telah menerima kemaskini ‘driver’ yang disenaraikan sebagai “INTEL – System”. Di mana ia telah diundur tarikh (backdated) ke tahun 1968 sungguhpun telah dihantar selepas naik taraf ke Windows 11 dilakukan.
Kebanyakan ‘driver’ yang sesetengahnya kelihatan bermasalah kerana spesifikasi yang ganjil ini ditempatkan di bawah panel tetapan Optional Updates Windows 11 dan Windows 10.
Menerusi hantaran terbaru di dalam blog rasminya, Microsoft menjelaskan mengapa dan bagaimana ‘driver’ yang disenaraikan ini diundur tarikh di dalam Windows.
Secara amnya, terdapat tiga kelompok utama terbitan ‘driver’, iaitu:
- ‘Driver’ yang dikeluarkan oleh Windows atau Microsoft sendiri
- ‘Driver’ yang dikeluarkan oleh syarikat perkakasan seperti Intel, AMD, NVIDIA dan sebagainya
- ‘Driver’ yang dikeluarkan oleh pengeluar PC
Menurut Microsoft, tarikh-tarikh kesemua ‘driver’ dari Windows ditetapkan kepada 21 Jun 2006 bagi mengurangkan masalah ketidakserasian.
Bagaimana ‘driver’ diundur tarikh pada Windows
Windows Update menyusun keutamaan ‘driver’ berdasarkan pelbagai faktor termasuk tarikhnya. Misalnya, jika sesebuah ‘driver’ boleh didapati di dalam pustaka ‘driver’ Microsoft sepadan dengan ID perkakaran peranti, ia akan menjadi keutamaan untuk pengguna memuat turunnya.
Bagaimanapun, jika terdapat lebih dari satu ‘driver’ yang sepadan dengan ID perkakasan, sesebuah ‘driver’ dengan cap masa yang paling terkini akan dipilih secara automatik. Jika masih terdapat lagi persamaan, Windows akan melihat pada nombor versi fail yang paling tinggi sepadan dengan tarikh ‘build’ diterbitkan.
Namun, masih terdapat lagi kelemahan dari segi pelaksanaannya. ‘Driver’ Windows akan secara automatiknya mempunyai cap masa yang lebih terkini berbanding yang disediakan oleh pengeluarnya apabila anda memasang kemaskini Windows yang paling terkini. Kesannya, ‘driver’ dari pengeluar berkenaan akan digantikan oleh ‘driver’ Windows. Hal ini akan menyebabkan beberapa fungsi pada peranti anda akan mengalami masalah.
Oleh yang demikian, ‘driver’ Windows sengaja diundurkan tarikhnya bagi mengelakkan situasi seperti yang dinyatakan tadi berlaku. Ini seterusnya membolehkan ‘driver’ dari pengeluar diberikan keutamaan berbanding ‘driver’ yang disediakan oleh Windows.