Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mensasarkan untuk mengagihkan 80% dari jumlah keseluruhan peranti di bawah program PerantiSiswa menjelang penghujung November ini.
Menurut Bernama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menyatakan pihak kementeriannya telah menerima sekitar 350,000 permohonan di bawah fasa satu dan dua. Beliau turut menyatakan kedua-dua fasa ini diproses secara serentak.
Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi K-KOMM Hariaty Mohd Idrus menyatakan sebanyak 105,665 permohonan telah diluluskan sehingga 14 September 2022, menurut laporan tersebut.
Pertama kali diumumkan ketika Bajet 2022 pada Oktober tahun lalu, PerantiSiswa diwujudkan bagi membantu pelajar dari keluarga B40 yang menghadapi kesukaran mendapatkan peranti untuk kegunaan pendidikan. Pelajar yang layak akan menerima tablet Samsung Galaxy Tab A8, bersama-sama aksesorinya iaitu:
- ITFIT Tab A8 Book Cover
- ITFIT Stylus Pen
- Smart Keyboard Trio 500
- Pengecas 7.75W
Pada asalnya peranti ini akan diberikan secara pinjaman dan perlu dipulangkan selepas penerima menamatkan pengajian. Bagaimanapun, awal bulan ini pihak kerajaan telah mengumumkan para penerima program ini tidak perlu memulangkannya semula.