IQOO secara rasminya telah melancarkan telefon pintar andalan baharunya di pasaran Malaysia, IQOO 12 yang merupakan telefon pintar pertama di pasaran tempatan yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3.
Telefon pintar ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan konfigurasi sahaja iaitu RAM 16GB dan storan 512GB pada harga RM3,399. Anda boleh membuat pra-tempahan IQOO 12 bermula dari sekarang sehingga 11 Disember ini menerusi kedai dalam talian rasminya di Lazada, Shopee, TikTok dan Kedai Konsep Vivo yang terpilih di seluruh negara.
Pra-tempahan yang dibuat bakal disediakan dengan diskaun RM50, cenderahati percuma bernilai sehingga RM777 yang merangkumi sepasang earbuds nirwayar IQOO TWS Air2 serta waranti lanjutan dan perlindungan skrin retak selama 1 tahun.
Bersempena jualan 12.12 nanti, IQOO 12 akan menawarkan diskaun RM50 dengan diskaun tambahan 10% menerusi baucar mengikut platform.
Spesifikasi IQOO 12
IQOO 12 menampilkan skrin AMOLED 6.78-inci beresolusi 2800 x 1260 piksel dengan ketumpatan piksel 452 ppi. Ia juga menyokong kadar penyegaran skrin 144Hz, kecerahan puncak 1400 nits dan kecerahan puncak setempat sehingga 3000 nits, selain menawarkan pemalapan 2160Hz bagi mengurangkan keletihan pada mata pengguna.
Pilihan warnanya hadir melalui Legend dan Alpha, yang di mana Legend menawarkan pilihan warna putih dengan jalur tri-warna BMW M Motorsport dan Alpha pula berwarna hitam dengan kemasan kaca fluorite AG.
Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, menjadikannya ia sebagai telefon pintar pertama di Malaysia yang menggunakan pemprosesan berkenaan secara rasmi. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.0 512GB. Untuk antaramukanya, ia menggunakan Funtouch OS 14 berasaskan Android 14.
Pemprosesannya itu tadi turut dibantu dengan pemprosesan tambahan IQOO Q1 bagi membantu meningkatkan kadar bingkai di dalam permainan sehingga 144fps dan memanfaatkan sepenuhnya paparan telefon pintar ini. Sistem penyejukan telefon pintar ini pula disokong oleh ruangan kebuk yang 40% lebih berbanding model sebelumnya.
Pada bahagian belakang IQOO 12 disediakan ruangan kamera yang dinamakan sebagai ‘Porthole Design’ yang diinspirasikan dari tingkap pada kapal angkasa. Di dalamnya ia menempatkan kamera utama 50MP f/1.68 dengan sensor 1/1.3″ bersama-sama kamera ultra lebar 50MP f/2.0 dan kamera telefoto berperiskop 64MP f/2.57 yang mampu melakukan zum optikal pada 3x dan zum digital sehingga 100x. Pada sebelah hadapannya pula disediakan kamera 16MP dengan f/2/45.
Lain-lain ciri yang disediakan oleh telefon pintar ini termasuklah bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan FlashCharge 120W yang menurut IQOO mampu mengecas sehingga 100% dalam tempoh 27 minit. Baterinya ini juga mampu mengekalkan kapasiti baterinya lebih dari paras 80% selepas lebih dari 1,600 kitaran lengkap pengecasan.
Turut disediakan sepasang pembesar suara pada sebelah atas dan bawahnya. iQOO 12 juga mempunyai pembesar cap jari dibina bawah skrin, sinaran infra-merah, serta sokongan untuk WiFi 7, Bluetooth 5.4, NFC, dan ketersambungan 5G.