Apple secara rasminya telah melancarkan iPhone SE Generasi Kedua. Sungguhpun rekaannya kelihatan agak ketinggalan zaman berbanding dengan rekaan siri iPhone 11, telefon Apple terbaru ini menampilkan cip yang baru, iaitu A13 Bionic.
iPhone SE Generasi Kedua ini turut dilengkapkan dengan paparan 4.7-inci dan panel IPS Retina HD resolusi rendah pada 1334 x 750. Tiada sokongan Face ID disediakan untuk iPhone SE terbaru ini. Ianya digantikan dengan Touch ID yang ditempatkan pada butang ‘home’ telefon ini.
Antara perbezaan yang ketara di antara telefon Apple terbaru ini dengan siri iPhone 11 dan iPhone 11 Pro adalah pada kameranya. Misalnya, iPhone SE Generasi Kedua ini hadir dengan kamera satu lensa 12MP bersudut ultra luas f/1.8. Kameranya juga hanya menyokong mod Potret (Potrait), tetapi tidak mod Malam (Night).
Pada hadapannya pula, telefon dengan persijilan IP67 ini turut dilengkapkan dengan kamera HD 7MP. Selain itu, kapasiti baterinya juga agak kecil dan hampir sama dengan jangka hayat bateri seperti iPhone 8.
Bagaimanapun, iPhone SE Generasi Kedua ini menyokong pengecasan tanpa wayar dan juga Wi-Fi 6 dan dwi-SIM. Buat masa ini, masih belum diketahui bilakah iPhone SE ini akan memasuki ke pasaran Malaysia.
Namun, Apple telah mendedahkan harga bagi pasaran negara kita. iPhone SE Generasi Kedua dengan storan 64GB akan dijual pada harga RM1,999. Manakala yang berkapasiti storan 128GB dan 256GB pula masing-masing dijual pada harga RM 2,199 dan RM 2,699.