Utama Apple iOS 16 akan membolehkan eSIM dipindahkan ke iPhone lain melalui Bluetooth

iOS 16 akan membolehkan eSIM dipindahkan ke iPhone lain melalui Bluetooth

679
0

Terdapat pelbagai ciri menarik yang telah diumumkan oleh Apple bagi kemaskini iOS 16 untuk iPhone 16 menerusi acara Worldwide Developers Conference (WWDC) seperti pengubahsuaian skrin berkunci dan Live Activities.

Terbaru, seorang pengguna Twitter baru-baru telah menemukan satu lagi ciri menarik yang terdapat di dalam tetapan kemaskini sistem operasi mudah alih terbaru ini.

Menurut laporan dari MacRumors, iOS 16 menyediakan fungsi memindahkan data eSIM di antara iPhone melalui sambungan Bluetooth. Buat masa ini, penukaran telefon yang menggunakan eSIM agak rumit kerana memerlukan pengguna meminta kod QR dari penyedia rangkaian.

Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan, pengguna boleh mengaktifkan sambungan selular eSIM dengan memindahkan data dari iPhone yang berhampiran, asalkan kedua-duanya menggunakan iOS 16. Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua iPhone berkenaan perlu didaftar masuk menggunakan Apple ID yang sama.

Laporan tersebut juga menyebut ciri memerlukan sokongan dari penyedia rangkaian masing-masing bagi membolehkan sambungan Bluetooth berfungsi. Apple masih lagi belum mengeluarkan senarai penuh negara-negara dan penyedia rangkaian yang menyokong pemindahan eSIM secara Bluetooth memandangkan kemaskini ini masih lagi baru. Beberapa negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat dilaporkan sudah menawarkan sokongan tersebut.

eSIM merupakan SIM digital yang hanya memerlukan pengguna mengimbas sejenis kod atau masukan data secara manual pada telefon anda untuk mengaktifkannya tanpa memerlukan kad SIM fizikal. Di Malaysia, hanya Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sahaja yang menawarkan eSIM kepada pelanggan masing-masing.

Kemaskini beta pembangunan iOS 16 telah pun dilancarkan pada minggu ini dan beta awam pula dijangka akan hadir sekitar bulan depan. Versi stabil iOS 16 pula dijangka akan mula ditawarkan kepada pengguna bermula sekitar musim luruh ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.