Utama Mobile Aplikasi Microsoft tamatkan Internet Explorer hari ini – Apakah kesannya terhadap anda?

Microsoft tamatkan Internet Explorer hari ini – Apakah kesannya terhadap anda?

754
0

Microsoft secara rasminya telah menamatkan sokongan terhadap pelayar web ikoniknya, Internet Explorer pada hari ini, 15 Jun 2022. Internet Explorer atau nama panggilan manjanya IE pertama kali dilancarkan pada 1995 sebagai sebahagian dari pakej tambahan untuk Windows 95.

Bermula dari 1995 hingga 2013, Microsoft telah menerbitkan 11 versi bagi perisian pelayar webnya yang berkenaan. Perisian ini juga menjadi pembuka jalan buat pengguna yang pertama kali mengenali arena web di internet.

Versi terakhirnya Internet Explorer 11 telah diterbitkan pada tahun 2013 sebelum tempatnya digantikan oleh pelayar web yang lebih moden, Microsoft Edge.

Tersungkurnya Internet Explorer

Pada awal era 2000-an, Internet Explorer digunakan secara meluas sebagai pelayar web dengan pernah mencapai peratus penggunaan di seluruh dunia sehingga 95 peratus pada 2003.

Salah satu punca utama populariti Internet Explorer adalah ia merupakan pelayar web tetapan lalai (default) di dalam sistem operasi Microsoft Windows. Ia juga telah membantu Internet Explorer memenangi Perang Pelayar Web Pertama menentang Netscape Navigator.

Bagaimanapun, kadar penggunaannya kian merosot apabila Mozilla Firefox diperkenalkan pada tahun 2002 dan seterusnya Google Chrome pada 2008.

Penguasaan pasaran Internet Explorer merosot di bawah paras 50% pada tahun 2010. Bermula tahun 2012, Google Chrome telah merampas takhta pelayar web yang paling popular di seantero dunia. Awal tahun ini, pengguna Internet Explorer di seluruh dunia kini hanya kurang dari 1% sahaja menurut data dari StatCounter.

Hari ini, satu daripada 10 pengguna melayari internet menggunakan Google Chrome. StatCounter melaporkan hampir semua negara di dunia menggunakan Google Chrome.

Pelayar web dari Apple, Safari pula berada di tangga kedua dengan peratus penggunaan sebanyak 19%. Ia diikuti pula oleh Firefox sebanyak 4%.

Bagi anda yang masih lagi sayangkan Internet Explorer, Microsoft ada menyatakan di dalam laman soalan lazim teknikalnya bahawa pihaknya tidak akan menyertakan Internet Explorer di dalam Windows 10 versi 20H2 dan ke atas. Sistem-sistem operasi yang masih lagi mempunyai Internet Explorer termasuklah Windows 8.1, Windows 7 Extended Security Updates dan sebahagian versi Windows 10 Server.

Kesemua pengguna, baik individu mahupun organisasi digesa untuk memindahkan sistem dan laman web masing-masing ke Microsoft Edge atau pelayar-pelayar web lain yang lebih moden. Sesetengah perniagaan, perusahaan atau organisasi mungkin masih lagi menggunakan aplikasi atau laman web legasi yang hanya menyokong Internet Explorer. Sungguhpun Edge menawarkan sokongan IE mode, aplikasi dan laman web berkenaan mungkin tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.