Utama Android Realme realme GT Neo 3 secara rasminya memasuki pasaran Malaysia; Harga dari RM2,099

realme GT Neo 3 secara rasminya memasuki pasaran Malaysia; Harga dari RM2,099

516
0

realme secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar peringkat menengah baharunya, realme GT Neo 3 di Malaysia. Telefon pintar berkenaan sebelum ini dilancarkan di pasaran China dalam tiga bulan yang lalu dan turut memperkenalkan versi storan yang lebih besar pada bulan lepas.

GT Neo 3 menggunakan cipset MediaTek Dimensity 8100 dengan RAM LPDDR5 8GB dan storan 256GB tanpa slot mikroSD. Telefon ini juga menyediakan sokongan perluasan RAM secara maya di antara 2GB hingga 5GB.

Melalui sistem penyejukan keluli berpengewapan, realme mendakwa telefon ini mampu memainkan permainan mudah alih pada kadar 120 fps selama 60 minit dengan suhunya kekal sekitar 40°C.

Untuk fotografinya, tetapan tri-kamera telefon pintar ini mengandungi satu kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Pada sebelah hadapannya disediakan kamera swafoto 16MP dan juga pengimbas cap jari terbina di bawah paparan AMOLED 6.7-inci 120Hz.

realme GT Neo 3 dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W secara berwayar. Pengecasan ini mampu memenuhkan kapasiti dari sifar hingga 50% dalam tempoh 12 minit sahaja. Tiada sokongan pengecasan nirwayar disediakan pada telefon pintar baharu realme ini.

Versi khas seperti realme GT Neo 3 Naruto Edition dan versi pengecasan pantas 150W bagaimanapun tidak diperkenalkan di pasaran Malaysia buat masa ini.

Hadir dengan antaramuka realme UI 3.0 yang berasaskan Android 12, telefon ini juga menyokong Bluetooth 5.3, Wi-Fi 6 dan NFC. Tiada bicu audio 3.5 mm disediakan pada realme GT Neo 3, namun ia menyediakan pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos.

Boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Sprint White dan Nitro Blue diinspirasikan oleh Le Mans, realme GT Neo dijual pada harga RM2,099. Bagi anda yang membeli telefon ini menerusi kedai rasmi realme di Lazada bermula dari hari ini hingga 17 Jun, anda boleh mendapatkannya pada harga istimewa RM1,799.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.