Intel dikatakan sedang merancang untuk memberhentikan ribuan pekerjanya dalam usahanya mengurangkan kos pengoperasiannya dalam menghadapi kemerosotan permintaan di dalam pasaran PC.
Menurut laporan dari Bloomberg, pengurangan tenaga kerja Intel ini dijangka akan dilakukan seawal bulan ini. Kemungkinan besar perkara ini akan dimaklumkan ketika laporan pendapatan berikutnya yang dijadualkan pada 27 Oktober.
Jika benar, pengeluar pemprosesan mikro ini akan melakukan pengurangan kira-kira 20% jumlah pekerjanya dari pelbagai bahagian termasuk jualan dan pemasaran. Sehingga Julai lalu, Intel mempunyai seramai 113,700 orang pekerja.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada keadaan ini. Kesukaran yang dihadapi ini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu sebelum Ketua Pegawai Eksekutif Pat Gelsinger mula memegang jawatan.
Kali terakhir Intel melaksanakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran adalah pada 2016 dengan melibatkan seramai 12,000 kakitangan. Kesannya, beberapa bahagian telah ditutup seperti telefon mudah alih, modem dan dron pada tahun-tahun berikutnya.
Dominasi Intel di pasaran CPU dan pemprosesan mikro desktop dan laptop kian merosot sejak 2017 apabila AMD mula memperkenalkan senibina CPU Zen dan Ryzen. Memburukkan lagi keadaan, Intel hanya mula beralih dari nod proses pembuatan 14nm lima tahun kemudian kepada pemprosesan 10nm yang digunakan sekarang melalui Alder Lake Generasi Ke-12 yang mula diperkenalkan pada tahun lepas.