Utama Automotif EV Konsep Perodua eMO-II dipertontonkan; Harga dijangka di bawah RM90,000 apabila dikeluarkan...

EV Konsep Perodua eMO-II dipertontonkan; Harga dijangka di bawah RM90,000 apabila dikeluarkan kelak

146
0

Pengeluar kereta nasional Perodua telah mempertontonkan eMO-II, kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) konsep yang dijangka akan menjadi ‘Myvi versi Elektrik’ apabila menemui pengguna di Malaysia kelak.

Kenderaan konsep tersebut dipertontonkan di dalam Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Mobility Show, KLIMS) 2024 dengan menampilkan rekaan yang lebih futuristik berbanding konsep yang diperkenalkan lebih awal, eMO-I.

Tidak banyak perincian mengenainya setakat ini, namun Perodua menyatakan EV yang akan datang ini disasarkan pada harga di bawah RM90,000. Berbentuk hatchback, EV ini dikatakan mampu mencapai jarak sehingga 400km dan dilengkapkan dengan bateri LFP bersumberkan CATL yang berkapasiti kira-kira 50kWj.

Dari segi pengecasan, pengecasan sehingga penuh menggunakan arus elektrik ulang-alik (alternating current) mengambil masa kira-kira 8 jam. Untuk pengecasan menggunakan arus terus (direct current, DC) dari 30% ke paras 80% pula mengambil masa sekitar 30 minit.

Menariknya, Perodua mensasarkan EV ini mampu mempunyai masa pecutan dari 0-100km/j dalam tempoh kurang dari 7 saat.

Pelancaran EV pertama keluaran Perodua ini dijangka akan dibuat dalam tahun 2025 dengan sasaran pengeluaran 500 unit setiap bulan untuk fasa pertama.

Imej pengatas daripada Facebook Perodua

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.