WhatsApp telah memulakan pembangunan fungsi “Mention” di dalam kemaskini Status sejak Mac lalu. Ia dijangka akan diperkenalkan kepada pengguna tidak lama lagi apabila fungsi tersebut telah mula memasuki peringkat beta di dalam versi Android.
Menurut laporan daripada WABetaInfo, ciri “Mention” di dalam kemaskini Status kini tersedia untuk pengguna Android melalui beta WhatsApp versi 2.24.20.3. Untuk melakukan “mention” pada kenalan, pengguna boleh klik pada butang ‘@’ bersebelahan bar kapsyen apabila berkongsikan foto, atau video melalui kemaskini Status.
Kenalan yang telah di”mention” akan menerima notifikasi dan boleh berkongsikan semula Status tersebut dengan pengguna lain menerusi butang kongsi semula. Butang tersebut terdapat bersebelahan dengan kotak membalas apabila melihat Status tersebut.
Bagaimanapun, tidak seperti Instagram, identiti pembuat kandungan asal tersebut akan kekal ‘private’ apabila kenalan yang telah di”mention” tersebut berkongsikan semula Status. Begitu juga apabila kenalan yang di”mention” tersebut juga tidak akan kelihatan di dalam penonton Status anda.
Sumber tersebut juga menyatakan kenalan yang di”mention” di dalam Status juga boleh melihat Status walaupun anda menghalangnya dari melihat kemaskini Status yang lain melalui tetapan privasi.
Tidak dapat dipastikan bilakah WhatsApp akan mula memperkenalkan fungsi baharu ini kepada pengguna umumnya. Bagi anda yang berhasrat untuk mencubanya, anda boleh menyertai program beta untuk WhatsApp.