Utama Teknologi Televisyen Televisyen Pintar Infinix X3 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

Televisyen Pintar Infinix X3 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

21
0

Infinix Malaysia telah menerbitkan sebuah iklan acah di laman Facebook rasminya berkenaan televisyen pintar Infinix X3 ke pasaran tempatan. Berdasarkan pelancarannya di pasaran India pada Mac lalu, siri televisyen pintar ini hadir dengan model 32-inci dan 43-inci.

Dari segi skrinnya, paparan televisyen pintar Infinix X3 32-inci menampilkan panel HD Ready beresolusi 1336 x 768 piksel. Manakala model 43-inci pula hadir dengan panel FHD beresolusi 1920 x 1080 piksel.

Kedua-dua varian menawarkan nisbah kerangka-ke-skrin tinggi dengan bingkai amat tipis. Siri televisyen pintar ini juga menawarkan warna gamut yang luas 85% NTSC, kecerahan 350 nits, kadar penyegaran semula 60Hz, sokongan kandungan HDR10 dan menampilkan teknologi Anti Blue Ray dari Infinix.

Televisyen pintar ini menggunakan cipset empat-teras Realtek RTD2841 bersama-sama RAM 1GB dan storan dalaman 8GB. Perisiannya pula menggunakan sistem operasi Android TV 11 yang didatangkan dengan sokongan untuk pelbagai perkhidmatan penstriman seperti Netflix, Amazon Prime Video dan YouTube. Ia juga turut menyediakan pelbagai fungsi yang biasa terdapat pada televisyen pintar dan juga sokongan Google Assistant.

Dari segi ketersambungan, kedua-dua model Infinix X3 ini menampilkan tiga port HDMI, dua port USB, satu port Ethernet, port output video YPbPr mini, dan satu bicu audio 3.5mm. Turut disediakan sokongan untuk WiFi dan Bluetooth.

Kedua-dua model 32-inci dan 43-inci juga didatangkan dengan output audio Dolby Audio mengikut tetapan pembesar suara yang disediakan. Untuk model 32-inci, ia menampilkan dua pembesar suara dengan output keseluruhannya 20W. Manakala model 42-inci pula ia dilengkapkan dengan dua pembesar suara dan dua tweeter dengan jumlah keseluruhannya outputnya 36W.

Infinix setakat ini masih belum menyatakan harga dan tarikh pelancaran bagi televisyen baharu ini. Berdasarkan harga jualannya di pasaran India, televisyen pintar Infinix X3 32-inci dijual pada harga Rs 11,999 (~RM 674), manakala model 43-inci pula dijual pada harga Rs 19,999 (~RM 1,124).

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.