Utama Android Samsung Samsung Galaxy Z Flip 4 akan dilancarkan dengan lebih banyak pilihan warna

Samsung Galaxy Z Flip 4 akan dilancarkan dengan lebih banyak pilihan warna

22
0

Tidak lama selepas melancarkan Galaxy Z Flip 3 pada bulan Ogos tahun lalu, Samsung turut memperkenalkan Bespoke Edition untuk pengguna mengubahsuai kombinasi warna telefon pintar berkenaan.

Menjelang pelancaran Galaxy Z Flip 4 nanti, Bespoke Edition dijangkakan akan turut ditawarkan bagi menawarkan lebih banyak warna pilihan, menurut laporan oleh SamMobile.

Maklumat mengenai warna-warna tersebut telah didedahkan oleh pentiris tegar Jon Prosser di Twitter. Antara warna yang akan ditawarkan untuk Galaxy Z Flip 4 kelak meliputi Graphite, Bora Purple, Pink Gold, dan Blue.

Pilihan tambahan warna baharu yang akan ditawarkan nanti pula meliputi lebih dari 49 kombinasi warna. Namun, pihak Samsung setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan dan menyediakan visual mengenainya setakat ini.

Ketika dilancarkan, Bespoke Edition untuk Flip 3 sebelum ini tidak ditawarkan di pasaran tempatan. Ia hanya ditawarkan di negara-negara seperti Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, untuk Bespoke Edition untuk Flip 4 ini pula dikatakan mungkin akan ditawarkan di pasaran-pasaran utama seluruh Eropah dan Asia. Cuma tidak dapat dipastikan jika ia akan ditawarkan ke pasaran Malaysia kelak.

Telefon pintar boleh lipat terbaru dari Samsung, Galaxy Z Flip 4 dan Fold 4 dijangka akan dilancarkan menerusi acara Unpacked yang mungkin akan diadakan sekitar bulan Ogos atau September.

Berdasarkan maklumat yang tertiris, Flip 4 dijangka akan menawarkan kamera utama dan ultra lebar 12MP, serta sebuah kamera 10MP untuk kegunaan swafoto. Ia juga akan hadir dengan bateri berkapasiti 3,700mAh bersama-sama pengecasan 25W dan cipset Snapdragon 8+ Gen 1.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.