Kerajaan akan mempercepatkan pembangunan sistem pengecaman dan pengesahan digital Identiti Digital Nasional (IDN). Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.
IDN akan mempunyai peranan yang sama seperti MyKad untuk mengesahkan identiti, cuma ia lebih dikhususkan bagi penggunaan di internet. Pengguna di masa akan datang kelak perlu mengingati ID dan kata laluan masing-masing untuk membuat pengsahan identiti, lebih kurang seperti perlu menyediakan MyKad bagi tujuan membuka akaun bank baharu.
Selain itu, ia juga dapat memudahkan urusan lain yang dijalankan secara digital seperti rekod kesihatan antara fasiliti kesihatan awam, mendapatkan ubat-ubatan secara dalam talian, mengundi dan sebagainya.
"Bagi mempertingkatkan lagi tahap kecekapan perkhidmatan awam, pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) akan disegerakan sebagai platform pengesahan diri yang dipercayai.#Belanjawan2024 #EkonomiMADANI"
— Ministry of Finance🇲🇾 (@MOFmalaysia) October 13, 2023
Inisiatif IDN ini telah diumumkan oleh kerajaan sejak tahun 2021 dengan pelaksanaan pembangunannya dirancang bermula 2024. Pihak kerajaan juga turut mengumumkan pembentukan Unit Nukleus GovTech bagi memperkukuhkan lagi hasrat tersebut.