Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan rancangan untuk melengkapkan papan putih pintar ke lebih dari 10,000 buah sekolah di seluruh Malaysia. Melalui rancangan ini, kerajaan mensasarkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di dalam sistem pendidikan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan selain penyediaan papan putih pintar, pihak KPM juga merancang untuk menaik taraf Pusat Kegiatan Guru (PKG) sebagai pusat kecemerlangan untuk teknologi pendidikan.
“Kita berharap sasaran semua sekolah di seluruh negara dilengkapi smartboard (papan pintar) menjelang 2027 akan dapat dicapai, ia juga kurikulum baharu (pada 2027) jadi kita pun nak melihat bahawa penggunaan berkenaan (papan pintar) dipertingkatkan,” ujar beliau kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan Smartbord dan Pengisytiharan Pencapaian 100 peratus penajaan Smartboard Sekolah-Sekolah di Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Wan Sajiri Wan Hassan.
Pulau Pinang menjadi negeri pertama mencapai penggunaan papan putih pintar sepenuhnya di seluruh 396 buah sekolah. Menurut Fadhlina lagi, ia dijayakan hasil kerjasama di antara Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri dan rakan strategik seperti Public Bank.
Beliau turut menyatakan penggunaan papan putih pintar akan menggalakkan proses pembelajaran interaktif dan berkesan disamping meningkatkan kemahiran digital pelajar. Dalam pada masa yang sama, beliau juga menegaskan peranan guru masih lagi penting bagi pembentukan adab dan akhlak di kalangan pelajar tanpa mengetepikan teknologi.