Syarikat-syarikat pengeluar telefon pintar utama di China dilaporkan sedang merancang untuk mewujudkan sebuah platform yang mampu menyaingi Gedung Google Play. Menurut Reuters, pelancaran platform terbaru tersebut bagaimanapun mungkin sedikit terganggu dengan penularan wabak Wuhan Coronavirus kini.

Bakal dikenali sebagai Global Developer Service Alliance (GDSA), platform yang dilaporkan oleh Reuters akan dibangunkan secara bersama oleh Huawei, Xiaomi, Oppo dan Vivo ini dijadualkan bakal dilancarkan pada Mac 2020.

Laporan tersebut bagaimanapun disangkal oleh pihak Xiaomi, yang mana menurut Xiaomi, GDSA bertujuan membantu para pembangun memuat naik aplikasi ke gedungnya. Kenyataan tersebut turut dimaklumkan menerusi laman web rasmi GDSA yang menyebut para pembangun juga boleh memuat naik aplikasi ke gedung Oppo, Vivo dan Xiaomi secara serentak.

Xiaomi turut menegaskan GDSA bukanlah bertujuan untuk menyaingi Gedung Google Play dan turut menafikan penglibatan Huawei dalam pakatan ini.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web rasminya, GDSA menyatakan platform bakal merangkumi negara-negara seperti India, Indonesia, Russia, dan juga, Malaysia.

Walauapapun jua niat sebenar GDSA, sekatan yang telah dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Huawei turut sama memberikan kesan secara tidak langsung terdapat lebih ramai pihak. Keputusan membuat sekatan terhadap Huawei tersebut dijangka mampu mengubah industri telekomunikasi mudah alih secara amnya di masa hadapan.

Sumber berita diperoleh dari Reuters

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.