Utama Android Huawei Huawei Nova 9 akan masuk ke pasaran Malaysia 8 November ini

Huawei Nova 9 akan masuk ke pasaran Malaysia 8 November ini

200
0

Huawei melancarkan telefon pintar Nova 9 di Malaysia pada Isnin depan, dua bulan selepas pelancaran Nova 8 di pasaran tempatan. Peranti baharu ini kelihatan mirip dengan Honor 50, namun terdapat sedikit perbezaan.

Buat masa ini, harga bagi telefon pintar Huawei baharu ini masih lagi belum diumumkan. Ia akan ditawarkan melalui kedai dalam talian Huawei, serta kedai rasminya di Lazada dan Shopee.

Anda boleh mengikuti acara pelancaran rasmi Huawei Nova 9 secara dalam talian pada jam 8 malam, 8 November 2021.

Bersempena pelancarannya, Huawei juga akan mengadakan acara tonton strim dan menang untuk memenangi hadiah Huawei FreeBuds 4 bernilai RM599.

Anda berpeluang memenanginya dengan memainkan lagu Huawei Nova 9 di dalam JOOX selama 9 jam sepanjang tempoh peraduan dari 29 Oktober hingga 4 November 2021. Seorang pemenang akan diumumkan melalui mesej dalam aplikasi JOOX.

Spesifikasi Huawei Nova 9

Huawei Nova 9 akan ditawarkan dalam 2 warna pilihan, Starry Blue dan Black. Dari segi rekaan, ia kelihatan saling tak tumpah seperti Honor 50 ketika dilancarkan.

Pada sebelah hadapan, telefon ini menyediakan paparan OLED 6.57-inci beresolusi Full HD+ dengan kadar penyegerakan 120Hz. Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 778, telefon ini menggunakan RAM 8GB dengan storan dalaman 256GB.

Untuk kameranya, Nova 9 mempunyai kamera utama 50MP f/1.9 yang menggunakan sensor RYYB. Turut digandingkan bersama, sensor ultra lebar 8MP dan dua sensor 2MP untuk masing-masing makro dan kesan berkedalaman. Kamera swafoto Nova 9 pula hadir dengan sebuah sensor 32MP.

Telefon pintar terkini Huawei ini juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 4,300mAh yang menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 66W melalui USB-C. Menurut Huawei, anda mampu mengecas sepenuhnya telefon ini dalam tempoh 38 minit.

Memandangkan Huawei kini sedang berdepan dengan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, telefon pintar ini tidak menyokong rangkaian 5G. Nova 9 juga tidak mempunyai Google Mobile Services untuk akses ke Google Play Store.

Nova 9 menggunakan antaramuka EMUI 12 dengan sokongan Huawei Mobile Services. Anda boleh mendapatkan aplikasi-aplikasi untuk telefon ini menerusi Huawei AppGallery. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi halaman produk Huawei Nova 9.

Huawei Nova 9 dijangka berdepan saingan sengit di pasaran jika harga yang ditawarkan olehnya lebih tinggi atau hampir sama dengan Honor 50.

Sebagai perbandingan Nova 8 ketika dilancarkan pada Ogos lalu ditawarkan pada harga RM1,899 dan berdepan dengan saingan sengit dari model telefon pintar 5G lain seperti Samsung Galaxy A52s 5G dan Xiaomi Mi 10 T.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.