Apple pada bulan September lalu telah melancarkan barisan telefon pintar dan tablet baharu keluarannya. Produk-produk berkenaan merangkumi iPad generasi terkini dan siri iPhone 13.
Bagaimanapun, pelanggan kini dilihat perlu menunggu untuk tempoh yang lebih lama untuk mendapatkan iPad keluaran baharu tersebut.
Menurut laporan terkini dari Nikkei, Apple menyatakan pihaknya terpaksa mengurangkan pengeluaran iPad bagi memberikan tumpuan terhadap iPhone 13.
Pengeluaran bagi iPad juga telah dikurangkan separuh dari perancangan asal dalam tempoh dua bulan kebelakangan. Dalam pada masa yang sama, komponen-kompoen untuk pengeluaran iPhone model terdahulu juga telah dialihkan ke model-model yang lebih baharu.
Bulan lepas, Bloomberg telah melaporkan Apple dijangkakan akan mengurangkan kapasiti pengeluaran iPhone 13 berikutan masalah kekurangan bekalan komponen di seluruh dunia.
Sungguhpun kemungkinan tersebut tidak dapat dinafikan, laporan terkini dari Nikkei ini juga menunjukkan keputusan terkini dari pihak syarikat mampu mengurangkan tekanan dalam memenuhi jumlah permintaan yang tinggi. Apple bagaimanapun setakat ini tidak memberikan maklumbalas dari penerbitan berkaitan berhubung perkara ini.
Keputusan yang dibuat ini tidak mengejutkan kebanyakan pihak apabila mengambil kira perbezaan permintaan antara kedua-dua peranti. Pengeluaran iPhone dalam setahun mencecah 200 juta unit dan ia didapati jauh lebih besar berbanding iPad.
Nikkei juga turut menjelaskan perkara yang berlaku ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh Apple. Tindakan yang hampir sama pernah dilakukan pada tahun lepas apabila apabila komponen-komponen utama iPad telah dialihkan kepada pengeluaran iPhone 12 bagi mengurangkan kesan kekurangan bekalan komponen.