Samsung Galaxy A52s 5G akan datang ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi dan dijangka hadir seawal minggu hadapan.Telefon ini merupakan penambahbaikan dari Galaxy A52 5G melalui penggunaan cipset Snapdragon 778G 5G.
Berdasarkan senarai dari DirectD, Galaxy A52s 5G dengan RAM 8GB dan storan 256GB akan dijual pada harga RM1,899. Iaitu sama dengan harga Galaxy A52 5G ketika ini.Telefon baharu ini turut didatangkan dengan tawaran pelapik belakang Galaxy A52s 5G secara percuma bagi setiap pra-tempahan.
Selain dari perbezaan jenis cipset dari Snapdragon 750G kepada 778G, spesifikasi perkakasan lainnya masih lagi kekal sama. Ia masih lagi menawarkan paparan AMOLED Full HD+ 6.5-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Serta pembesar suara stereo yang diperkaya dengan Dolby Atmos.
Untuk kameranya, A52s 5G hadir dengan tetapan kuad-kamera. Ia terdiri daripada kamera utama 64MP OIS, ultra-lebar 12MP dan dua kamera 5MP untuk kedalaman dan makro. Kamera swafotonya pula menyediakan sebuah sensor 32MP yang ditempatkan di tengah-tengah skrin berpenebuk lubangnya.
Sama juga dengan model sebelumnya, telefon Samsung baharu ini juga hadir dengan pengimbas cap jari dan penarafan kerintangan debu dan air IP67.
Telefon ini jgua mempunyai bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C. Pun begitu, pengecas yang disediakan bersama-sama pembeliannya menyokong pengecasan sehingga 15W.
Terdapat dua pilihan warna bagi Galaxy A52s ini iaitu Awesome White dan Awesome Black.