Utama Android Huawei Huawei Mate X6 tiba di Malaysia pada harga RM8,688

Huawei Mate X6 tiba di Malaysia pada harga RM8,688

214
0

Telefon pintar terkini dan paling hebat keluaran Huawei, Mate X6 kini akhirnya tiba di Malaysia. Diumumkan pada bulan lepas, telefon pintar ini didatangkan dengan penambahbaikan ketara seperti kamera yang lebih baik, badan yang lebih nipis dan paparan yang lebih besar.

Seperti biasa, Huawei tidak menyatakan pemprosesan apa yang digunakan pada telefon pintar keluarannya. Namun, berdasarkan beberapa laporan di arena web, kemungkinan besar ia menggunakan Kirin 9020. Telefon pintar boleh lipat yang lengkap dengan perlindungan Kunlun Glass 2 dan rintang air IPX8 ini didatangkan dengan RAM 12GB dan storan 512GB.

Dari segi fotografinya, Mate X6 menampilkan kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra lebar 40MP, kamera telefoto 48MP dengan OIS dan zum optikal 4X, serta sensor “Ultra Chroma” yang membantu mendapatkan kejituan warna yang lebih baik. Untuk swafoto, disediakan sebuah kamera 8MP pada paparan dalaman dan paparan luaran.

Sebuah bateri berkapasiti 5,110mAh turut disediakan yang menyokong pengecasan berwayar 66W dan nirwayar 50W. Selain itu, ia juga didatangkan dengan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya. Untuk ketersambungannya pula, Huawei Mate X6 menyokong 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, dan NFC.

Cuma perisiannya, ia hadir dengan EMUI 15.0 dan tidak dapat dipastikan sama ada varian global ini kelak akan menerima HarmonyOS Next. Ini kerana terdapat laporan yang menyatakan perisian berkenaan hanya eksklusif untuk pasaran China sahaja.

Huawei Mate X6 ditawarkan dengan tiga pilihan warna dan dijual pada harga RM8,688 dan tersedia untuk dipra-tempah bermula dari 18 Disember 2024 sehingga 10 Januari 2025. Pembelian secara pra-tempahan ini bakal menerima Huawei Watch Ultimate dan perlindungan skrin selama setahun secara percuma. Anda yang berminat boleh membuat pembelian menerusi laman web rasmi Huawei, serta di kedai dalam talian rasminya di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.