Huawei telah melancarkan siri Nova 13 di Malaysia, bersama-sama kejutan dengan memperkenalkan model ketiga Nova 13i. Model Nova 13 dan Nova 13 Pro telah pun diperkenalkan pada bulan Oktober, namun 13i membuat penampilan sulungnya di peringkat global di dalam acara pelancaran ini.
Huawei Nova 13 Pro menampilkan paparan OLED LTPO melengkung quad 1.5K 6.76-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Melalui ujian penanda arasa, telefon pintar ini dikatakan dikuasakan oleh cip Kirin 8000, dan didatangkan dengan 12GB RAM dengan pilihan storan 256GB atau 512GB.
Model Pro juga mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, lensa telefoto 12MP dengan OIS dan zum optik 3x, lensa ultra lebar 8MP, kamera hadapan 60MP, dan kamera swafoto close-up 8MP. Ia dikuasakan oleh bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 100W, dan mempunyai penarafan IP65 untuk ketahanan terhadap debu dan air.
Huawei Nova 13 standard pula didatangkan dengan paparan OLED 1080p rata 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia mempunyai tetapan kamera yang serupa dengan Pro, tetapi tanpa lensa telefoto dan kamera swafoto close-up. Ia juga mempunyai bateri 5,000mAh dengan pengecasan 100W dan menyokong 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, dan NFC. Kedua-dua Nova 13 dan Nova 13 Pro mempunyai pengimbas cap jari di bawah paparan dan menggunakan EMUI 14.2.
Untuk Huawei Nova 13i pula, ia menampilkan paparan 6.7-inci, kamera 108MP, bateri 5,000mAh dengan pengecasan 40W, RAM 8GB dan storan 256GB.
Harga untuk siri Huawei Nova 13 di pasaran Malaysia adalah seperti berikut.:
- Huawei Nova 13 – RM1,799
- Huawei Nova 13 Pro – RM2,399
- Huawei Nova 13i – RM1,299
Pra-tempahan untuk telefon pintar baharu ini boleh didapati dari 18 Disember 2024 hingga 10 Januari 2025 melalui laman web rasmi Huawei, Shopee, Lazada dan TikTok Shop.