Huawei secara rasminya telah melancarkan siri telefon pintar mercu keluaran baharunya, yang terdiri daripada Mate 70, Mate 70 Pro dan Mate 70 Pro+. Kesemuanya buat masa ini hadir dengan Harmony OS 4.3, namun dijanjikan akan menerima naik taraf kelak ke versi Harmony OS 5.0 yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman.
Pemprosesan yang digunakan pada siri Mate 70 ini masih lagi tidak diketahui. Huawei hanya menyatakan ia mempunyai peningkatan prestasi yang ketara berbanding siri Pura 70 yang telah dilancarkan pada tahun ini. Berdasarkan spekulasi daripada beberapa sumber, model Mate 70 dilengkapkan dengan pemprosesan Kirin 9010, dengan model Pro dan Pro+ pula didatangkan dengan Kirin 9020 yang lebih tinggi prestasinya.
Bagi Huawei Mate 70 yang menampilkan paparan OLED 6.7-inci FHD+ beresolusi 2688 x 1216 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz, model standard ini turut dilengkapkan dengan perlindungan IP68/69, pengimbas cap jari bawah skrin, Bluetooth 5.2, NFC dan juga komunikasi satelit. Ia juga mempunyai RAM 12GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Baterinya pula berkapasiti 5,300mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar, dan pengecasan nirwayar 50W.
Sistem kamera telefon pintar ini mengandungi kamera yang terdiri daripada kamera 50MP dengan apertur boleh laras f/1.4 – f/4.0, kamera ultra-lebar 40MP dan kamera telefoto berperiskop 12MP. Ia juga menyokong zum optikal 5.5x dengan anggaran jarak fokal lensa 24mm, 13mm dan 125mm, serta zum digital 50X. Kamera hadapannya pula merupakan sebuah kamera 13MP.
Isi Kandungan
Huawei Mate 70 Pro
Seterusnya Huawei Mate 70 Pro, menampilkan paparan OLED 6.9-inci FHD+ dengan resolusi 1832 x 1316 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz. Selain menyediakan sebuah kamera 13MP pada hadapannya, model ini juga mempunyai perlindungan IP68/69, Bluetooth 5.2, NFC, komunikasi satelit dan pengimbas cap jari bawah skrin.
Sama juga dengan model lain di dalam siri ini, tiada perincian mengenai pemprosesan dinyatakan. Apa yang diketahui, ia mempunyai konfigurasi RAM 12GB dan storan sehingga 1TB. Baterinya besar sedikit pada 5,500mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W, nirwayar 80W dan berbalik 20W.
Kamera untuk model ini terdiri daripada kamera 50MP dengan sistem apertur boleh laras XMAGE f/1.4 ke f/4.0, kamera ultra lebar 40MP dan kamera telefoto makro 48MP. Ia juga menawarkan zum optikal 4X dan digital 100X.
Huawei Mate 70 Pro+
Akhir sekali model Huawei Mate 70 Pro+ dilengkapkan dengan paparan melengkung OLED 6.9-inci beresolusi 2832 x 1316 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz. Model ini juga didatangkan dengan kamera hadapan 13MP, perlindungan debu dan air IP68/69, Wi-Fi 5 / Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, GPS (Dwi Jalur L1 + L5), NFC, komunikasi satelit, dan pengimbas cap jari bawah paparan.
Kapasiti RAM dan storannya sama seperti ‘adik-beradik’nya yang lain cuma untuk baterinya yang lebih besar 5,700mAh. Ia juga menyokong pengecasan berwayar 100W, nirwayar 80W, dan berbalik 20W.
Sama seperti model Pro, ia mempunyai kamera utama 50MP dengan sistem apertur boleh laras XMAGE f/1.4 ke f/4.0. Ia juga mempunyai kamera ultra lebar 40MP dan kamera telefoto makro 48MP. Ia juga menawarkan zum optikal 4X dan digital 100X.
Di China, harga untuk Mate 70 bermula dari CNY5,499 (~RM3,379), model Pro pula dari CNY6,499 (~RM3,993), manakala Pro+ dari CNY 8,499 (~RM5,223). Huawei juga memperkenalkan Pro+ edisi khas Mate 70 Pro RS yang menampilkan bahan titanium dan berharga CNY11,999 (~RM7,373). Bagaimanapun, pihak Huawei masih belum menyatakan sama ada kesemua model-model telefon pintar mercu keluarannya ini akan hadir ke pasaran global termasuk Malaysia kelak.