Selain melancarkan X40, HONOR turut melancarkan sebuah lagi peranti di pasaran asalnya di China melalui tablet HONOR Pad X8. Ia berbeza dengan HONOR Pad 8 yang dilancarkan pada Julai lalu dan juga HONOR Pad X8 Lite yang pernah muncul di laman web rasminya beberapa hari yang lalu.
HONOR Pad X8 hadir dengan paparan skrin sesentuh IPS 10.1-inci beresolusi 1920 x 1200 piksel. Ia menggunakan sebuah cipset MediaTek yang belum diumumkan dan sekadar dilabelkan sebagai MT8786. Cipset ini mempunyai CPU lapan-teras dengan dua teras Cortex-A75 pada frekuensi 2.0GHz dan enam teras Cortex-A55 berfrekuensi 1.8GHz.
Bersama-sama cipset berkenaan, tablet ini turut hadir dengan RAM 6GB dan storan pilihan sama ada 64GB atau 128GB. Untuk kameranya, ia menyediakan sebuah kamera belakang 5MP, dan kamera hadapan 2MP. Tidak ketinggalan, sebuah bateri berkapasiti 5,100mAh turut disediakan.
Cuma tidak dipastikan mengapa tablet ini menggunakan Android 10 melalui antaramukanya HONOR Magic UI 4.0.
Tabet yang berukuran 240.2 x 159 x 7.55 mm dan berat 460g ini sudah mula dibuka untuk tempahannya di China. HONOR Pad X8 hanya menawarkan pilihan warna Dawn Blue sahaja pada harga promosi CNY1,299 (~RM843). Harga asalnya akan kembali semula ke CNY1,399 (~RM907) selepas tempoh promosi tamat. Pilihan warna Mint Green juga dijangka akan diperkenalkan kelak.
Setakat ini tidak diketahui bilakah HONOR Pad X8 akan memasuki pasaran global termasuk Malaysia dalam masa yang terdekat ini.















