Utama Apple Apple WWDC 24: Ini senarai ciri-ciri baharu yang ditawarkan dalam iOS 18

Apple WWDC 24: Ini senarai ciri-ciri baharu yang ditawarkan dalam iOS 18

203
0

Apple di dalam ucaptama Sidang Pembangun-Pembangun Sedunia 2024 (Worldwide Developers Conference, WWDC 24) secara rasminya telah mengumumkan iOS 18, versi terkini sistem operasi untuk iPhone.

Bersama-sama dengannya terdapat ciri-ciri dan kemaskini baharu di antaranya memanfaatkan sistem pembelajaran mesin yang dinamakan sebagai Apple Intelligence (yang juga dinamakan sebagai A.I.).

Lebih pilihan pengubahsuaian

Salah satu perubahan ketara pada iOS 18 adalah pada pilihan baharu yang membolehkan pengubahsuaian pada skrin utamanya (home screen customisation). Pengguna kini boleh memilih tema untuk ikon-ikon aplikasi, meletakkannya pada mana-mana bahagian skrin dan melaraskan warnanya secara automatik bagi menyesuaikannya dengan mod gelap. Ia seterusnya menyediakan lebih banyak pilihan pemperibadian dan pengalaman pengguna yang lebih fleksibel.

Pusat kawalan (control center) di dalam iOS juga telah diolah semula dengan susun-atur berbilang halaman dan “Controls Gallery” baharu. Galeri ini membenarkan pembangun pihak ketiga menawarkan wijet-wijet untuk Control Center bagi meningkatkan kefungsiannya. Pengguna juga boleh menukarkan kawalan baharu ini ke dalam skrin berkunci (lock screen), menggantikan fungsi lampu picit dan ikon-ikon kamera dengan pilihan pengubahsuaian baharu ini.

Keselamatan yang lebih baik

Keselamatan juga dipertingkatkan dengan iOS 18 yang kini menyokong penguncian aplikasi secara individu melalui Face ID. Ia bertujuan memastikan maklumat sensitif di dalam aplikasi berkenaan dapat dilindungi terutamanya ketika telefon pintar tersebut dikongsikan dengan pengguna lain.

Messages serba baharu

Aplikasi Messages pula menerima sebilangan kemaskini. Fungsi Tapbacks direka semula bagi membolehkan pengguna memberikan reaksi dengan sebarang emoji atau pelekat dan tidak terhad dengan beberapa pilihan seperti sebelum ini. Aplikasi berkenaan juga kini menyokong penghantaran berjadual, kesan khas pada teks, dan pilihan pemformatan teks seperti garis bawah (underline) dan garis di tengah (strikethrough).

Seterusnya, aplikasi Mail turut dinaiktaraf dengan pengkategorian secara automatik yang diuruskan sepenuhnya pada peranti bagi meningkatkan kecekapan dan privasi. Aplikasi Apple Maps pula dipertingkatkan dengan penambahan peta topografi terperinci dan sokongan luar talian (offline) yang amat berguna untuk navigasi di kawasan-kawasan terpencil.

Apple Wallet yang lebih mantap

Fungsi Tap to Pay untuk Apple Cash, sebuah platform Apple Pay Online baharu kini disediakan di dalam Apple Wallet bagi meningkatkan sokongan untuk acara-acara yang bertiket.

Ciri Tap to Cash pula membenarkan pengguna untuk menghantar wang kepada kenalan pada kadar segera dengan mendekatkan kedua-dua telefon masing-masing seperti membuat penghantaran fail menggunakan AirDrop. Lain-lain ciri peningkatan Apple Pay termasuklah sokongan yang lebih baik untuk kad-kad ganjaran.

Ia juga menyediakan integrasi yang lebih mendalam untuk tiket-tiket acara dengan menyediakan lebih banyak maklumat seperti nombor tempat duduk dan kekunci pintas untuk penunjuk arah.

Produktiviti, Pengurusan dan Hiburan yang lebih baik

Aplikasi Journal pula kini menyokong catatan keadaan minda anda, menjejak matlamat dan menunjukkan paparan tinjauan baharu dengan sokongan carian. Game Mode pula akan hadir ke iPhone dengan mengurangkan aktiviti latar belakang dan memastikan kadar bingkai yang tertinggi ketika permainan sedang dimainkan.

Aplikasi Photos telah melalui proses rekaan semula besar-besaran yang disasarkan untuk menguruskan saiz pustaka foto yang semakin membesar dengan lebih berkesan. Ciri-ciri baharu ini menyertakan keupayaan menyembunyikan tangkapan layar, ciri “Collections” diperkenalkan untuk menyimpan jejak foto-foto terkini dan cadangan, serta antaramuka Carousel baharu. Selain itu, aplikasi ini juga boleh mengumpulkan foto-foto individu bersama-sama bagi memudahkan pengurusan foto.

iOS 18 juga akan menambah RCS, integrasi peringatan di dalam Calendar dan pilihan untuk menjadikan ikon pada halaman utama lebih besar. Salah satu ciri baharu utama yang diperkenalkan ini adalah keupayaan untuk menggunakan aplikasi Messages tanpa Wi-Fi atau sambungan selular melalui sokongan Messages via Satellite. Ciri khusus ini ditawarkan untuk model iPhone 14 dan ke atas yang membolehkan pengguna menghantar mesej penting menggunakan sambungan satelit ketika berada di luar rangkaian biasa.

Model-model iPhone yang menyokong iOS 18

iOS 18 boleh disokong pada peranti-peranti yang menyokong iOS 17 seperti sebelum ini iaitu:

  • iPhone 15
  • iPhone 15 Plus
  • iPhone 15 Pro
  • iPhone 15 Pro Max
  • iPhone 14
  • iPhone 14 Plus
  • iPhone 14 Pro
  • iPhone 14 Pro Max
  • iPhone 13
  • iPhone 13 mini
  • iPhone 13 Pro
  • iPhone 13 Pro Max
  • iPhone 12, 12 mini
  • iPhone 12 Pro
  • iPhone 12 Pro Max
  • iPhone 11
  • iPhone 11 Pro
  • iPhone 11 Pro Max
  • iPhone XS
  • iPhone XS Max
  • iPhone XR
  • iPhone SE (Generasi Ke-2 dan ke-3)

Apple menyatakan beta pertama untuk iOS 18 akan diterbitkan sejurus selepas ucaptama Apple dan beta awam (public beta) akan tiba pada Julai nanti. Terbitan umum kemaskini terbaru iOS ini pula dijangka akan hadir sekitar musim Luruh tahun ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.