Dalam dunia digital hari ini, sempadan antara realiti dan ilusi semakin sukar dipisahkan. Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka ruang kepada penghasilan video yang kelihatan asli, sehingga sukar dibezakan antara palsu dengan rakaman sebenar. Kontroversi video melibatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Mac 2026 menjadi contoh paling jelas bagaimana masyarakat global kini berhadapan dengan krisis kepercayaan terhadap maklumat visual.

Semuanya bermula apabila satu video ucapan Netanyahu tular di media sosial. Perhatian orang ramai tidak tertumpu kepada isi ucapannya, tetapi kepada satu perkara yang aneh iaitu kelihatan beliau mempunyai enam jari. Dakwaan ini dengan pantas menjadi tular kerana ia bersepadan dengan kelemahan AI dalam menghasilkan anatomi manusia, khususnya bahagian tangan dan jari.

Tidak lama selepas itu, muncul satu lagi video menunjukkan beliau berada di sebuah kafe sebagai bukti beliau masih hidup. Namun, video kedua ini tidak juga meredakan keadaan. Malah, ia mencetuskan lebih banyak persoalan. Ada yang mendakwa pergerakan kopi dalam cawan seperti tidak logik, cincin pada jari hilang seketika, dan ekspresi wajah kelihatan kaku serta tidak kelihatan semula jadi. Malah, chatbot AI seperti Grok turut menguatkan persepsi bahawa video ini dihasilkan oleh AI apabila Grok telah melabel video tersebut sebagai “100% deepfake”. Ia meningkatkan keraguan diseluruh dunia.

Bagi sesetengah pemerhati, semua ini bukan sekadar kebetulan. Ia adalah petunjuk jelas bahawa video tersebut mungkin dihasilkan menggunakan teknologi AI. Pandangan ini turut disokong oleh ciri-ciri umum deepfake seperti lip-sync yang tidak selaras, pergerakan objek yang tidak konsisten dan ekspresi wajah yang tidak natural.

Bagaimana Orang Awam Boleh Mengenal Pasti Video Deepfake?

Di tengah kekeliruan ini, orang awam perlu dilengkapi dengan kemahiran asas untuk menilai kesahihan sesuatu video. Walaupun tiada satu kaedah yang sempurna, beberapa panduan berikut boleh membantu anda.

  1. Perhatikan wajah dan pergerakan mata
    Jika individu dalam video jarang berkelip atau berkelip secara tidak normal, ini mungkin petanda video tersebut dihasilkan oleh AI. Ini kerana model AI generatif selalu gagal meniru pola mata berkelip secara semula jadi.
  2. Fokus kepada tangan, jari dan objek kecil
    Deepfake sering gagal menghasilkan tangan dan jari dengan tepat. Kes Netanyahu sendiri menunjukkan bagaimana dakwaan “enam jari” timbul akibat visual yang kelihatan aneh.
  3. Semak keselarasan audio dan visual
    Pergerakan bibir yang tidak sepadan dengan suara merupakan antara petunjuk paling kuat kandungan telah dijana oleh AI. Ini kerana audio dan visual mungkin dijana secara berasingan dan kemudian digabungkan.
  4. Nilai latar belakang dan pencahayaan
    Bayang-bayang atau pencahayaan yang tidak konsisten juga boleh menandakan kelemahan AI memahami ruang fizikal sebenar dan video tersebut tidak asli.
  5. Sahkan konteks dan sumber sebenar
    Langkah paling penting ialah menyemak sumber sebenar, lokasi dan masa video tersebut dirakam. Kajian menunjukkan bahawa gabungan analisis visual, audio dan konteks memberikan ketepatan tertinggi dalam pengesanan deepfake berbanding bergantung kepada satu kaedah sahaja.

Dalam kes video Netanyahu, terdapat juga pihak yang tampil menafikan bahawa video tersebut adalah hasil AI. Mereka berhujah bahawa video kafe tersebut telah disahkan melalui geolokasi dan disokong oleh sumber lain di lokasi yang sama. Selain itu, dakwaan seperti “enam jari” dijelaskan sebagai ilusi optik di mana bahagian tapak tangan (hypothenar eminence) dilihat sebagai jari tambahan.

Tambahan pula, analisis pengesanan AI oleh sesetengah pihak terhadap video ucapan tersebut menunjukkan kebarangkalian sangat rendah ia dihasilkan oleh AI, iaitu sekitar 0.1% sahaja. Ini menguatkan hujah mereka bahawa perkara aneh yang dilihat mungkin berpunca daripada kualiti video, sudut kamera dan kesan pemampatan (compression).

Hujah-hujah ini akhirnya mewujudkan dua naratif yang berbeza. Di satu pihak, mereka yakin video tersebut adalah deepfake berdasarkan pelbagai keganjilan teknikal yang dapat dilihat dengan mudah. Di pihak lain, terdapat golongan yang percaya video tersebut tulen dan segala keganjilan hanyalah salah tafsir.

Kes Netanyahu ini akhirnya menjadi simbol kepada dilema era moden iaitu apabila teknologi semakin canggih, kepercayaan manusia juga semakin terhakis. Video yang kelihatan benar belum tentu benar, dan video yang betul benar pula boleh dianggap sebagai palsu.

Kesimpulannya, kita kini hidup dalam zaman di mana kebenaran bukan lagi sesuatu yang dapat dilihat dengan mata kasar semata-mata. Ia perlu disaring, disemak dan difahami dengan lebih mendalam. Sama ada video Netanyahu itu benar-benar AI atau tidak, ia akan terus diperdebatkan sehingga berita sebenar dikenalpasti dan disahkan. Keupayaan untuk berfikir secara kritis kini menjadi aset paling penting dalam menghadapi era digital yang mencabar ini.

MAKLUMAT PENULIS

Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan

Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi,

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tinggalkan komentar