HONOR telah melancarkan laptop MagicBook X 14 Plus dan MagicBook X 16 Plus yang mengetengahkan ciri produktiviti dipacu AI di China baru-baru ini. Laptop berkenaan dilancarkan bersama-sama HONOR Magic 6 RSR Porsche Design dan HONOR Band 9.
Di China, laptop berkenaan di jual pada harga masing-masing bermula dari 4,499 Yuan (~RM2,973) dan 4,699 (~RM3,105).
Harga HONOR MagicBook X 14 Plus:
- RAM 16GB + storan 512GB: 4499 Yuan (~RM2,973)
- RAM 32GB + storan 1TB: 4999 Yuan (~RM3,305)
Harga MagicBook X 16 Plus
- RAM 16GB + storan 512GB: 4699 Yuan (~RM3,105)
- RAM 32GB + storan 1TB: 5199 Yuan (~RM3,435)
Kedua-dua model laptop berkenaan dikuasakan oleh pemprosesan AMD Ryzen 7 8845HS bersama-sama grafik berintegrasi AMD Radeon 780M. Laptop-laptop berkenaan juga didatangkan ddengan memori LPDDR5x dan mod prestasi yang boleh anda aktifkan menerusi kekunci kombo pintas Fn+P.
Paparan HONOR MagicBook X 14 Plus merupakan jenis IPS beresolusi 2.8K dengan kemasan matte anti-silau. Ia juga mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 430 nits. Bezanya dengan MagicBook X 16 Plus, ia mempunyai panel beresolusi 2.5K.
Model laptop yang lebih besar saiz skrinnya ini juga mempunyai bateri yang lebih besar 75W, berbanding 60W sahaja untuk model 14-inci. Sistem penyejukan model 16-inci ini juga lebih baik dengan mod prestasinya mencapai TDP 45W berbanding 40W untuk model skrin yang lebih kecil.
Kedua-duanya menyokong pengecasan 65W, namun HONOR MagicBook X 14 Plus mengambil masa 1.5 jam untuk dicaskan sehingga penuh. Manakala untuk X 16 Plus pula, ia mengambil masa sehingga 2 jam untuk dipenuhkan.
HONOR MagicBook X 14 Plus juga lebih ringan iaitu 1.34kg sahaja berbanding X 16 Plus yang seberat 1.79kg. Setakat ini tidak dapat diketahui bilakah laptop jenama HONOR baharu ini akan memasuki pasaran Malaysia dan juga global.













