HONOR telah melancarkan telefon pintar kelas pertengahan baharunya, HONOR 600 Lite di pasaran Malaysia hari ini. Telefon pintar berharga RM1,399 ini menggabungkan spesifikasi berprestasi tinggi, ciri ketahanan fizikal yang lasak, serta sokongan kecerdasan buatan (AI) yang komprehensif.
Selepas mengacah pada minggu lepas, HONOR kini telah mendedahkan spesifikasi penuhnya secara rasmi. Telefon pintar ini memfokuskan kepada rekaan dan ketahanan maksimum.
Menerusi penarafan IP66, telefon pintar ini tahan daripada debu dan air. Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai pengiktirafan Pensijilan Rintangan Jatuh 5-Bintang daripada badan ujian bebas, SGS.
Dari aspek perisian, peranti ini beroperasi menggunakan sistem operasi Android 16 dengan antara muka MagicOS 10.
Menurut HONOR, peranti terbaharu ini hadir dengan rekaan yang diinspirasikan oleh iPhone.
Spesifikasi HONOR 600 Lite
| Spesifikasi Utama | Butiran |
|---|---|
| Cip Pemprosesan | MediaTek Dimensity 7100 Elite |
| Paparan | AMOLED bersaiz 6.6-inci , resolusi 1,200 x 2,600 piksel , kadar segar semula 120Hz , kecerahan puncak 6,500 nits |
| Memori (RAM) | 12GB |
| Storan Dalaman | 256GB |
| Kamera Belakang | Lensa utama 108MP (f/1.75) dan lensa ultra-lebar 5MP |
| Kamera Hadapan | Lensa swafoto 16MP |
| Bateri | 6,520mAh |
| Pengecasan | Pengecasan pantas berwayar 45W |
| Sistem Operasi | Android 16 dengan MagicOS 10 |
| Ketahanan Fizikal | Penarafan rintangan habuk dan air IP66 , Pensijilan Rintangan Jatuh 5-Bintang SGS , rekaan bingkai logam |
| Ciri Tambahan | Butang fungsi AI khusus menyokong AI Memories, AI Screen Suggestions, dan Google Lens |
| Pilihan Warna | Desert Gold dan Velvet Grey |
| Harga | RM1,399 |
HONOR 600 Lite kini boleh didapati dalam dua pilihan warna yang elegan, iaitu Desert Gold dan Velvet Grey. Anda yang berminat boleh mendapatkan telefon pintar ini melalui kedai fizikal dan dalam talian rasmi HONOR di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop, atau melalui syarikat telekomunikasi.
Bersempena pelancarannya, para pembeli terawal turut berpeluang menikmati pakej hadiah percuma istimewa yang merangkumi rebat tunai bernilai RM100 berserta Waranti Lanjutan 1+1 Tahun yang bernilai RM99.














