Sebilangan pengguna Windows 11 dilaporkan berdepan masalah gangguan sambungan Internet secara tiba-tiba. Ia berlaku selepas memuat turun dan memasang kemaskini baharu sistem operasi Windows 11.

Isu tersebut dikesan berpunca daripada ralat kemaskini yang mengubah konfigurasi rangkaian. Ralat ini juga menjejaskan fungsi pemacu (driver) peranti secara tidak sengaja.

Gangguan ini menyebabkan komputer gagal mengakses Internet walaupun status pada skrin memaparkan bahawa peranti telah berjaya berhubung dengan rangkaian Wi-Fi atau kabel Ethernet.

Punca masalah ini dikenalpasti sebagai ralat pada klien Protokol Konfigurasi Hos Dinamik (DHCP) yang menghalang peranti daripada mendapatkan alamat IP yang sah. Memburukkan lagi keadaan, sistem Windows secara automatik menggantikan pemacu rangkaian asal dengan pemacu generik.

Menurut Penganalisis Teknikal, The WinCentral, ralat sambungan ini berlaku walaupun PC kelihatan berjaya dihidupkan. Rangkaian akan gagal berfungsi dan pengguna yang telah log masuk tetap tidak dapat melayari web atau mencapai halaman bantuan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Antara masalah yang dilaporkan dihadapi oleh pengguna yang terjejas:

  • Status rangkaian memaparkan amaran “Bersambung, Tiada Internet” (Connected, No Internet).
  • Ralat klien DHCP yang menggagalkan perolehan alamat IP untuk peranti.
  • Kehilangan fungsi pemalam rangkaian (network adapter) secara tiba-tiba daripada sistem komputer.
  • Pemutusan sambungan Internet secara rawak dan ketidakstabilan kelajuan rangkaian.

Buat sementara waktu, pengguna yang terjejas disarankan untuk melakukan tetapan semula rangkaian (network reset). Ia boleh dilakukan melalui menu tetapan Windows atau menggunakan arahan Command Prompt.

Selain itu, pengguna juga boleh memilih untuk membuang (uninstall) kemaskini terbaharu tersebut bagi mengembalikan fungsi Internet seperti sedia kala sementara menunggu tampalan pembaikan rasmi diedarkan.

Tinggalkan komentar