Utama Google Google perkenalkan Veo, Model Video Generatif AI

Google perkenalkan Veo, Model Video Generatif AI

164
0

Google telah mengumumkan Veo, model video generatif AI baharunya dan menyaingi Sora dari OpenAI. Menurut Google, model buatannya mampu menjana video berkualiti tinggi beresolusi 1080p berdurasi 1 minit dan pelbagai gaya visual dan sinematik.

Veo dikatakan akan menampilkan “pemahaman lanjutan bahasa semulajadi,” yang membolehkannya memahami terma-terma sinematik seperti “time lapse” atau “aerial shots of a landscape.” Pengguna boleh menghasilkan output yang diingini menggunakan prompt berasaskan teks, imej atau video untuk menjana reja filem (footage).

Google juga mendakwa video dihasilkan adalah “lebih konsisten dan koheren,” dalam menunjukkan pergerakan yang lebih realistik untuk manusia, haiwan dan objek-objek di dalam babak yang dijana. Ia boleh diperhalusi lagi dengan prompt-prompt tambahan. Untuk ciri-ciri tambahan bagi membolehkan Veo menghasilkan papan cerita dan babak yang lebih panjang, pihak Google buat masa ini masih lagi mengkajinya.

Untuk menunjukkan keupayaan model tersebut, Google telah bekerjasama dengan Donald Glover dan studio kreatif miliknya, Gilga. Di dalam video promosi yang singkat, kita dipertontonkan dengan pasukan kreatif tersebut menggunakan teks untuk menghasilkan video untuk pelbagai babak dan senario.

Model AI generatif daripada Google ini boleh didapati sebagai pratonton khas di bawah alatan VideoFX untuk sebahagian penghasil kandungan terpilih dalam tempoh beberapa minggu lagi. Anda yang berminat boleh mendaftar untuk mendapatkan peluang awal mencubanya. Selain itu, Google juga menyatakan pihaknya akan menambah beberapa ciri Veo ke dalam YouTube Shorts kelak.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.