OpenAI telah mengumumkan “Sora”, alatan baharu yang direka bagi menjana video berdasarkan prom teks pengguna. Dinamakan dari perkataan Jepun yang bermaksud langit, model baharu ini berkeupayaan menghasilkan potongan filem yang mempunyai kandungan dan gaya mengikut arahan pengguna sehingga seminit.
Menurut hantaran pengenalan di dalam blog OpenAI, Sora mempamerkan keupayaan menghasilkan babak yang rumit menampilkan berbilang watak, gerakan tertentu, dan perincian suasana yang tepat. Syarikat berkenaan juga menyatakan model tersebut memahami realiti spatial objek-objek dan boleh mengintepretasikan prop-prop sambil menghasilkan watak yang mengekspersikan emosi.
Selain itu, Sora juga boleh menjana video dari imej-imej tunggal, mengisikan babak dari potongan filem sedia ada atau melanjutkan tempoh durasinya. Demonstrasi yang disediakan di dalam hantaran blog OpenAI mempamerkan pelbagai senario seperti seorang model berjalan-jalan di sekitar jalan-jalan di Tokyo dan pandangan udara California seperti ketika zaman pembukaannya dahulu.
Sungguhpun beberapa video kelihatan begitu ketara sifat sesebuah model AI, OpenAI mengakui modelnya mungkin berdepan kesukaran mensimulasikan fizik yang kompleks dengan tepat.
Sora buat masa ini hanya boleh diakses secara eksklusif oleh “red teamers” yang ditugaskan membuat penilaian risiko dan ancaman model berkenaan. OpenAI juga sedang memperluaskan aksesnya kepada beberapa artis visual, pereka dan penggiat filem untuk mendapatkan maklumbalas.
Syarikat yang membangunkan teknologi AI ini bagaimanapun tidak menyatakan berapa banyak potongan filem yang digunakan untuk melatih Sora atau dari mana video-video yang diambilnya sebagai sumber. Namun, dinyatakan ia melalui sumber awam dan telah dilesenkan. Sama seperti produk-produk AI lain, OpenAI menjangka akan berlaku keadaan video janaan AI kelihatan amat realisitik hingga sukar dibezakan dengan potongan video sebenar.
Dalam perkembangan yang berkaitan, OpenAI telah mengumumkan rancangan untuk meletakkan tera air (watermark) untuk alatan teks-kepada-imej DALL-E 3 pada awal bulan ini. Bagaimanapun, turut dinyatakan ia boleh dibuang secara sengaja atau tidak sengaja dengan mudah.