Adakah anda perasan tentang serangan hacktivist yang semakin berkurangan baru-baru ini? Baru-baru ini, X-Force IBM telah menerbitkan data yang menunjukkan aktiviti godaman oleh hacktivist telah turun 95 peratus sejak 2015. Merosot dari setinggi 35 insiden setahun kepada hanya 2 insiden sahaja pada 2018. Malah pernah mencatatkan sifar aktiviti pada beberapa bulan pertama tahun 2019. Para penyelidik berpendapat hal ini disebabkan oleh keruntuhan organisasi Anonymous dan juga oleh usaha yang berterusan dari pihak berkuasa.
Kumpulan Anonymous dilaporkan bertanggungjawab terhadap 45 peratus daripada serangan ini. Namun kumpulan tersebut mula berantakan pada 2016 selepas perubahan percaturan politik serta kewujudan “fake anon” yang menggodam atas tujuan peribadi dan tidak mengikut matlamat asal kumpulan. Sesetengah negara juga menggunakan taktik menjadikan kumpulan tersebut sebagai kambing hitam dalam beberapa insiden. Semakin paranoid kumpulan Anonymous dalam membuang “fake anon”, semakin berpecah belah perpaduan anggotanya.
Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang turut menyumbang kepada kemerosotan aktiviti godaman jenis ini. “Sekurang-kurangnya” 62 tangkapan telah dibuat di Amerika Syarikat, UK dan Turki sejak dari tahun 2011. Menurut IBM, jumlah sebenar mungkin mencatatkan angka yang lebih tinggi. Hacktivist terkenal seperti LulzSec Sabu turut memainkan peranan terhadap kemerosotan ini. Beliau telah memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dengan berkongsikan maklumat mengenai aktiviti hacktivist.
Bagaimanapun, IBM mengingatkan bahawa perkembangan ini tidak memberi makna hacktivist sudah berjaya dihapuskan. Sebaliknya, kemerosotan yang berlaku lebih sebagai “tempoh berehat” sahaja. Sebarang perubahan sosio politik dan penyusunan organisasi dapat menaikkan kembali aktiviti godaman kumpulan hacktivist seperti Anonymous ini. Terdapat juga beberapa insiden terkini yang mungkin layak dilabel sebagai hacktivisme, seperti kempen bantahan kerajaan Ecuador berikutan penangkapan Julian Assange. IBM turut mengingatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menguruskan isu keselamatan siber walau dalam apa jua keadaan.
Sumber berita diperoleh dari ZDNet