Utama Komputer EA akan terbitkan semula siri permainan Command & Conquer asal dalam resolusi...

EA akan terbitkan semula siri permainan Command & Conquer asal dalam resolusi 4K untuk PC

935
0

Command & Conquer: Tiberian Dawn dan Command & Conquer: Red Alert akan diterbitkan semula dalam bentuk 4K. Untuk merealisasikannya, EA menjalinkan kerjasama dengan Petroglyph Games, syarikat yang dibentuk oleh sebahagian pembangun asal siri permainan strategi berkenaan.

Para peminat Command & Conquer pastinya menyambut baik usaha menaiktaraf siri permainan strategi klasik ini dalam bentuk 4K. Pengumuman ini dibuat Rabu lepas oleh EA dan tiga judul pengembangan siri berkenaan turut disertakan bersama secara pukal dalam satu harga.

Bagi mengekalkan keasliannya, EA telah bekerjasama Petroglyph Games, yang mana sebahagian pembangun asal siri Command & Conquer sedang berkhidmat. Frank Klepacki, komposer runut muzik latar untuk kedua-dua permainan, juga akan turut serta.

Selain itu, EA turut mendapatkan khidmat dari Lemon Sky Studios untuk menaik taraf grafik berpiksel lama ke dalam bentuk 4K. Lemon Sky Studios sebelum ini pernah membantu menaiktaraf permainan strategi PC klasik lain seperti StarCraft yang diterbitkan tahun lepas dan menerima ulasan positif dari peminat.

Perkembangan ini menyusul selepas siri terbaru Command & Conquer terbitan EA khusus untuk telefon pintar sahaja dikecam teruk oleh peminatnya kerana mengabaikan platform PC. Dikenali sebagai Command & Conquer: Rival, permainan percuma ini boleh dimuat turun melalui iOS dan Android pada bulan depan.

Dijangkakan, siri permainan Command & Conquer ini bakal diterbitkan pada tahun hadapan bersempena ulang tahun ke-25 Command & Conquer: Tiberian Dawn dilancarkan.

Sumber berita diperoleh dari EA

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.