PayNet telah memperkenalkan aplikasi baharu yang direka khusus untuk kegunaan pelancong-pelancong di Malaysia, MY TouristPay. Aplikasi ini digunakan bagi tujuan pembayaran secara nirtunai melalui DuitNow.
DuitNow buat masa ini hanya disokong oleh bank-bank yang didaftarkan di negara berkenaan. Ini bermakna, pelancong-pelancong berkenaan tidak boleh melakukan transaksi menggunakan kod QR melainkan mereka menggunakan aplikasi dari Thailand, Indonesia, atau Singapura yang menyokong pembayaran rentas-sempadan melalui QR. Melalui TouristPay, pelancong hanya perlu mendaftar di dalam aplikasi berkenaan dan menambahkan kad kredit atau kad debit yang dikeluarkan di luar Malaysia.
Selepas menambahkan kad tersebut, pelancong berkenaan boleh mengimbas kod QR DuitNow di peniaga yang menyediakannya dan memasukkan amaun bayaran seperti biasa. Apabila mendaftar, pelancong berkenaan perlu memasukkan nama penuh seperti di dalam pasport, alamat emel dan nombor telefon.
Penawaran baharu ini merupakan salah satu usaha terkini PayNet untuk membolehkan pelancong dari negara luar membuat pembayaran di Malaysia menggunakan e-wallet dan kod QR. Bulan lalu, PayNet telah mengumumkan kerjasama dengan ANT Group bagi membolehkan DuitNow menyokong rakan kongsi e-wallet Alipay+ dari lapan negara dengan sokongan timbal-balik akan diperkenalkan secara berperingkat.